JIM: Kes Nyonya Tahir buktikan Mahkamah Syariah tidak prejudis
Mahkamah Tinggi Syariah Seremban membuat keputusan yang adil berhubung status agama Nyonya Tahir kerana penghakimannya dibuat berdasarkan kepada bukti dan bukannya populariti.
Mahkamah Tinggi Syariah Seremban membuat keputusan yang adil berhubung status agama Nyonya Tahir kerana penghakimannya dibuat berdasarkan kepada bukti dan bukannya populariti.
Ketika menegaskan demikian, Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Seremban Mohd.Shukor Sabudin mempunyai hujah yang kukuh untuk membuat keputusan bahawa Nyonya Tahir bukan penganut Islam.
"Keputusan itu adalah untuk memberi keadilan kepada pihak-pihak yang terbabit dalam kes itu," katanya ketika diminta mengulas perkara itu hari ini.
Dalam penghakimannya semalam, Mohd Shukor berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan membicarakan kes berkaitan kepentingan orang Islam, termasuk masalah akidah yang berlaku di negara ini.
Katanya, ia juga diputuskan berdasarkan kepada afidavit yang dikemukakan oleh anak bongsu Nyonya, Chiang Ah Fatt dan juga keterangannya bersama kakaknya, Chiang Kwang Ying, 43, di mahkamah semalam.
Shukor berkata, selepas mendengar serta meneliti keterangan waris Nyonya dan bukti yang dikemukakan di mahkamah, mahkamah memutuskan bahawa Nyonya Tahir, bernombor kad pengenalan 180425-04-5054 @ 02033418 bukan beragama Islam semasa kematiannya.
Berikutan itu, beliau memutuskan mayat Nyonya Tahir diserahkan kepada keluarganya dan dikebumikan mengikut upacara Buddha setelah wanita itu disytiharkan sebagai bukan Islam ketika meninggal dunia.
'Kedudukan sebenar'
Menurut Zaid lagi, pihak berkuasa agama Islam membawa sesuatu kes ke Mahkamah Syariah kerana mereka mahu tahu kedudukan sebenar mengenai perkara tersebut dan bukannya mahu merampas hak sesiapa.
Jika hakim mendapati mereka bukan Islam, katanya, umat Islam perlu menerimanya dengan hati yang terbuka.
Zaid juga berharap orang ramai tidak menganggap keputusan Mahkamah Tinggi Syriah Seremban itu mempunyai kaitan dengan kontroversi kes M Moorthy apabila mayatnya menjadi rebutan antara Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan isterinya, S. Kaliammal.
"Kita tidak bersikap negatif terhadap keputusan Mahkamah Syariah walaupun ia tidak menyebelahi umat Islam dan kita mesti menghormati hak mereka (bukan Islam)," tambahnya.
Sementara itu, ketika mengulas perkara yang sama, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM), Muhamad Burok berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban itu menunjukkan Mahkamah Syariah tidak mengenepikan hak bukan Islam.
Katanya, ini membuktikan Mahkamah Syariah adil dan tidak prejudis terhadap mana-mana pihak, termasuk bukan Islam.
'Bantu membantu'
"Ini membuktikan Mahkamah Syariah tidak pernah mengenepikan hak orang bukan Islam sebaliknya memberi keadilan kepada mereka," katanya.
Beliau merupakan peguam pemerhati dalam perbicaraan tersebut semalam.
Katanya lagi, tindakan mahkamah memanggil anak-anak si mati untuk memberi keterangan, menunjukkan bukan Islam juga boleh tampil mempertahankan hak mereka di Mahkamah Syariah.
"Hak adalah tetap hak walaupun berlainan agama dan kepercayaan. Berlainan agama tidak bererti hak seseorang itu terlucut di Mahkamah Syariah...ini yang dibuktikan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Seremban semalam," katanya lagi.
Beliau berkata, ini juga menunjukkan Mahkamah syariah dan mahkamah sivil walaupun mempunyai bidang kuasa yang berbeza tetapi saling bantu membantu di antara satu sama lain.
Sehubungan itu Muhammad berkata, perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda kerana hak orang bukan Islam tidak pernah diabaikan meskipun ia dibicarakan di Mahkamah Syariah.

