Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyokong Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Kerja yang dilancarkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada 17 Jan.Presidennya, Mohamed Shafie BP Mammal, berkata sudah tiba masanya isu solat pada waktu kerja diangkat sebagai perkara penting selepas ia tertangguh sekian lama.

“Isu solat ini kadangkala menjadi tanda tanya sama ada pekerja boleh dibenarkan untuk menunaikan solat pada waktu kerja atau sebaliknya.

“Pihak pengurusan atau majikan jangan memperlekehkan cadangan ini kerana ia merupakan usul yang baik bagi membentuk keperibadian pekerja,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada 17 Jan, Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar memaklumkan bahawa garis panduan tersebut diterbitkan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kata Mahfuz ia dibuat bagi mengelakkan timbul kekeliruan di antara pihak majikan dan pekerja berhubung.

Menurut Shafie garis panduan tersebut menjadi penanda aras kepada majikan berkaitan pelepasan waktu bekerja bagi pekerja Muslim menunaikan solat, selaras dengan Seksyen 60A Akta Kerja 1955.

Katanya, berdasarkan kajian UNI-MLC, tiada garis panduan solat pada waktu bekerja disediakan. Justeru katanya apa yang diamalkan selama ini hanya mengikut budi bicara di antara pekerja dan majikan.

“[...] majikan yang membenarkan pekerja menunaikan solat pada waktu bekerja dianggap sebagai mesra pekerja dan ini harus dilihat dari sudut positif.

“Pekerja juga berasa selesa dan tidak teragak-agak untuk menjalankan tugas lebih cemerlang dan meningkatkan produktiviti,” katanya lagi.