Universiti Teknologi Mara (UitM) sentiasa memandang serius mengenai isu keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) universiti terbabit, kata naib canselornya, Prof Emeritus Dr Hassan Said.

Beliau berkata demikian berikutan dakwaan kebocoran data peribadi lebih sejuta alumni dan pelajar universiti berkenaan.

Menurut Dr Hassan, UiTM memiliki dasar keselamatan ICT yang komprehensif merangkumi pelbagai komponen termasuk perlindungan maklumat rahsia rasmi dan maklumat rasmi.

"Tahap keselamatan ICT UiTM diyakini adalah setaraf dengan badan dan organisasi setara yang lain di malaysia.

"Ini dibuktikan dengan penerimaan pensijilan ISMS (Information Security Management System) ISO 27001:2013 oleh SIRIM QAS International Berhad pada 14 Jan 2019 lalu," katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, portal Lowyat.net mendakwa rekod butiran 1,164,540 pelajar pelbagai jurusan di UiTM antara 2000 dan 2018 telah bocor.

Memetik sumber, data yang bocor itu termasuk rekod terpeinci pelajar dari kampus utama UiTM di Shah Alam dan 13 kampus cawangan di seluruh negara.

Turut didakwa terjejas adalah butiran pelajar yang mendaftar untuk kursus yang diiktiraf oleh UiTM di beberapa kolej di seluruh negara.

Menurut Dr Hassan, tangkapan skrin yang dipaparkan menunjukkan format maklumat berkenaan tidak dijana dari mana-mana sistem dalaman di UiTM.

"Ini menunjukkan bahawa maklumat tersebut telah diolah dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seterusnya mengesahkan bahawa maklumat tersebut adalah bukan dijana terus dari sistem UiTM ekoran daripada pengodaman.

"Oleh yang demikian UiTM terus yakin bahawa sistem sedia ada yang digunakan adalah utuh, selamat dan boleh dipercayai," katanya.

Selain itu katanya pihak UiTM juga akan menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan tiada berlaku sebarang salahlaku oleh warga universiti itu.

"Sekiranya didapati bahawa perkara ini berlaku, pihak UiTM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab," katanya.