Pasangan ditemui mati dalam kereta
Pasangan ditemui mati dalam kereta diparkir di pusat beli belah
Seorang lelaki dan seorang wanita ditemui mati dalam sebuah kereta yang dipakir di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata mangsa lelaki dikenali sebagai Hanafi Marlin, 23, manakala wanita itu dikenali sebagai Marcella Nur Anis, 20.
Katanya polis dimaklumkan oleh orang awam pada pukul 3 petang tadi mengenai sebuah kereta yang diparkir dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu.
Pemeriksaan polis mendapati seorang lelaki dan seorang wanita berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk hadapan kereta.
“Kita belum dapat memastikan sejak bila kenderaan berkenaan diparkir di kawasan berkenaan dan pegawai perubatan yang datang ke lokasi kejadian telah mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap mayat kedua-dua mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.
- Bernama

