Balu Moorthy fail rayuan
Walaupun sudah hampir sebulan jenazah pendaki Everest, M. Moorthy atau nama Islamnya Mohammad Abdullah, 36, dikebumikan, balunya S. Kaliammal hari ini memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mengebumikan jenazahnya mengikut upacara Hindu, Disember lalu.
Walaupun sudah hampir sebulan jenazah pendaki Everest, M. Moorthy atau nama Islamnya Mohammad Abdullah, 36, dikebumikan, balunya S. Kaliammal hari ini memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mengebumikan jenazahnya mengikut upacara Hindu, Disember lalu.
Rayuan itu, yang difailkan melalui Tetuan A. Sivanesan & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan tengah hari tadi, memberikan 50 alasan bagi mempertikaikan keputusan Hakim Datuk Md Raus Sharif pada 28 Disember lalu.
Dalam keputusanya, Hakim Md Raus, yang antara lain, memutuskan bahawa mahkamah itu tidak mempunyai bidangkuasa untuk menentukan status agama Moorthy sebelum kematiannya memandangkan persoalan itu telahpun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 22 Disember 2005.
Dengan itu, Hakim Md Raus menolak permohonan Kaliammal untuk mendapatkan pelbagai deklarasi dan perintah termasuk bahawa suaminya adalah seorang yang bukan beragama Islam tetapi adalah seorang Hindu sebelum kematiannya pada 20 Disember 2005.
Dalam rayuannya, Kaliammal berkata, hakim itu telah tersalah dalam tidak menyimpulkan bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa dan kompetensi untuk menentukan sama ada Moorthy sah memeluk agama Islam atau masih menganuti agama Hindu sehingga kematiannya.
Menurut Bernama, wanita itu juga mendakwa, hakim itu telah tersalah dalam tidak memutuskan bahawa perintah Mahkamah Syariah pada 22 Disember 2005 adalah suatu yang terbatal dan tidak sah.
Pengkebumian
Kaliammal berkata, hakim telah tersalah dalam tidak menyimpulkan bahawa beliau adalah orang yang berhak terhadap mayat suaminya berbanding Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Pada 22 Disember 2005, Mahkamah Tinggi Syariah mengisytiharkan Moorthy adalah penganut Islam dan membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk mengebumikan mayatnya.
Moorthy, seorang anggota komando, telah lumpuh selepas tercedera ketika menjalani latihan di Kem Sungai Udang, Melaka pada 14 Ogos 1998 dan terpaksa menggunakan kerusi roda.
Dia mengalami koma setelah terjatuh dari kerusi rodanya dan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 20 Disember tahun lalu.
Jenazahnya, yang menjadi rebutan antara Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan isterinya, akhirnya selamat disemadikan mengikut hukum syarak di Tanah Perkuburan Taman Ibukota, Gombak, pada 28 Disember 2005.

