Terjemahan Apakah timbul percanggahan kepentingan apabila Persatuan Alumni Kelab Umno luar negeri membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok kerana mendedahkan klip video tahanan wanita bogel melakukan ketuk ketampi?

Pengerusi kelab tersebut, Datuk Noh Omar Timbalan Menteri Dalam Negeri, yang turut menjadi sasaran dalam kontroversi tersebut tidak tahu menahu mengenai laporan polis itu.

Ketika dihubungi, Noh berkata, beliau tidak mengetahui mengenai laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sentul oleh ahli kelab berkenaan, Abd Razak Mohd Ghazali, semalam.

"Secara rasminya saya tidak tahu...kita tidak pernah membincangkannya (untuk membuat laporan polis) dalam mesyuarat-mesyuarat kita. Tidak ada arahan untuk berbuat demikian, dia (Abd Razak) buat bagi pihak dirinya," kata Noh kepada malaysiakini ketika ditanya sama ada kelab itu merestui tindakan tersebut.

Noh berulangkali menegaskan yang beliau tidak tahu menahu mengenai laporan polis tersebut, walaupun semua laporan media telah menamakan individu yang membuat laporan itu.

Laporan polis tersebut dibuat terhadap Teresa, yang juga Ahli Parlimen Seputeh, kerana didakwa menyimpan, mengedar dan menyebarkan bahan lucah berhubung "wanita bogel melakukan ketuk ketampi" di lobi Parlimen November lalu.

Ketika kontroversi itu memuncak, Noh telah mempertahankan tindakan polis dengan mengatakan satu siasatan dalaman yang dijalankan, menunjukkan anggota polis terbabit tidak melakukan sebarang kesalahan.

Beliau seterusnya mencetuskan kemarahan awam apabila berkata, rakyat asing boleh pulang ke negara mereka jika mereka menganggap polis Malaysia kejam.

Selepas ditegur oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Noh kemudiannya meminta maaf atas kenyataannya itu, tetapi mendakwa pihak media telah salahfaham maksudnnya.

Bulan lalu, apabila siasatan suruhanjaya bebas mengenalpasti wanita dalam klip video itu wanita Melayu tempatan, dan sekaligus mematikan spekulasi yang dia rakyat China aktivis sosial mengkritik Noh kerana didakwa sengaja menyembunyikan maklumat tersebut.

Mereka kemudiannya menggesa beliau meletakkan jawatan selepas dua editor kanan akhbar China Press meletakkan jawatan berhubung laporan akhbar itu bahawa wanita terbabit adalah rakyat China.

'Semak fakta terlebih dahulu'

Teresa, ketika dihubungi petang ini, menyindir pengadu tersebut kerana "tidak melakukan semakan sewajarnya' sebelum membuat laporan tersebut.

Ironinya, laporan tersebut dibuat pada hari suruhanjaya bebas mengumumkan hasil siasatannya berhubung skandal berkenaan dan mengemukakan syor-syor mengenai kaedah menjalankan pemeriksaan ke atas tahanan.

"Laporan polis tersebut seolah-olah satu tamparan ke muka Perdana Menteri dan kabinet. Ia menjejaskan kebijaksanaan mereka menubuhkan suruhanjaya bebas untuk menyiasat kejadian wanita bogel ketuk ketampi" katanya.

"(Pengadu) mendakwa saya mengenali wanita dalam klip video tersebut sebagai seorang pelancong rakyat China. Itu tidak betul. Akhbar yang dikuasai Umno Utusan Utusan Malaysia dan New Straits Times yang melaporkannya. Jadi mengapa tidak buat aduan terhadap mereka?

Teresa mengulangi bahawa bukan beliau yang mengedarkan klip video lucah, tetapi sebaliknya dia mahu mendedahkan layanan buruk dan tidak berperi kemanusiaan terhadap wanita terbabit.

Mengenai kenyataan Noh yang tidak tahu menahu mengenai laporan polis tersebut, Teresa menjawab: "Adakah sukar untuk mempercayai yang beliau tidak tahu apakah yang dilakukan oleh persatuannya. Jika laporan tidak dibuat atas nama persatuan, maka Noh perlu memperjelaskannya secara terbuka."

Mengenai langkah seterusnya, Teresa berkata, beliau akan menimbang kemungkinan membuat laporan polis terhadap Abd Razak yang didakwanya membuat laporan palsu berhubung ketidaktepatan dakwaannya itu. Berita asal