Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anifah: Tiba masa bayar tunggakan pada Sabah, Sarawak
Diterbitkan:  Jan 27, 2019 11:34 AM
Dikemaskini: 3:34 AM

Pengumuman Kementerian Kewangan mengenai kutipan cukai negara yang mencecah RM137.035 bilion turut disambut baik bekas pemimpin kanan Umno dari Sabah, Anifah Aman.

Kata anggota parlimen Kimanis itu, khabar baik mengenai kejayaan berkenaan memang dinanti-nantikan rakyat Sabah dan Sarawak.

Dalam keadaan kewangan begitu, katanya, Putrajaya sepatutnya tidak ada masalah untuk membayar tunggakan Pusat kepada kedua-dua negeri di timur Malaysia itu berdasarkan apa yang dipersetujui mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Kami di Sabah dan Sarawak juga masih lagi menunggu-nunggu hasil yang diputuskan oleh kerajaan persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anifah yang pernah dilantik sebagai Menteri Luar semasa BN memerintah berkata, sebelum ini banyak persetujuan dicapai semasa kerajaan pusat - pada era BN - dan negeri mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Penurunan Kuasa.

"Sudah tentu dengan kejayaan Menteri Kewangan memungut hasil yang lebih banyak seperti ini amat dinanti-nantikan agar kekayaan negara dapat diagihkan secara sama rata seperti yang disarankan oleh perdana menteri," katanya.

Pada 20 Jan lalu Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyatakan prestasi kutipan kasar cukai langsung negara oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada 2018 meningkat 11.13 peratus kepada RM137.035 bilion berbanding 2017.

Kata Lim pencapaian ini mencipta sejarah baru dan turut mengatasi pencapaian terbaik kutipan cukai langsung yang direkodkan sebelum ini iaitu RM133.70 bilion pada 2014.

"Peningkatan ini disumbangkan oleh peningkatan kutipan daripada komponen pembayar cukai seperti syarikat, individu, petroleum, koperasi, duti setem dan lain-lain.

"Selain daripada mencerminkan keberkesanan kepimpinan bersih dan pentadbiran cekap, akauntabiliti dan telus (CAT), peningkatan hasil ini juga menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang masih menggalakkan pada 2018," katanya.

Untuk rekod, Anifah mengumumkan keluar daripada Umno pada 2018, tidak sampai 24 jam selepas seorang lagi pemimpin kanan parti berkenaan, Mustapa Mohamed mengambil tindakan sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS