Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kerjasama BN dengan PAS akan lebih kukuh'
Diterbitkan:  Jan 27, 2019 11:43 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Selepas kekalahan di PRK Cameron Highlands, Pakatan Harapan (PH) dijangka berdepan cabaran sama di PRK DUN Semenyih yang bakal diadakan 2 Mac ini.

Ini kerana beberapa tokoh Umno dan PAS sudah membayangkan kerjasama antara mereka dengan PAS akan lebih kukuh selepas kejayaan di PRK Cameron Highlands.

Antaranya bekas perdana menteri Najib Razak dalam satu hantaran Facebook hari ini.

"Saya menghargai sokongan (Presiden PAS) Abdul Hadi Awang, (timbalannya) Tuan Ibrahim Tuan Man, pemimpin dan ahli PAS yang membantu kemenangan rakyat di Cameron Highlands.

"Saya yakin kerjasama kami akan bertambah erat, semua ini demi masa depan Malaysia," katanya yang berkempen secara agresif dalam PRK Cameron Highlands.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi mengumumkan calon BN Ramli Mohd Nor menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran dengan majoriti 3,238 undi, jauh lebih tinggi berbanding PRU lalu iaitu 597 undi.

BN juga menang di semua 12 pusat daerah mengundi.

Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan berkata antara faktor kemenangan itu adalah kerjasama dengan PAS. Penganalisis juga berkata undi BN dan PAS tidak lagi pecah seperti PRU lalu.

Noraini Ahmad

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad berkata keputusan semalam membuktikan pembangkang kini semakin kukuh.

"Tahniah buat semua teman yang berhempas pulas berkempen... Kepada rakan-rakan PAS, jazakallahu khairan kathiran di atas kerjasama dan keyakinan yang diberikan.

"Ayuh kita jadikan kemenangan penting ini sebagai permulaan yang baik kepada kemenangan seterusnya di PRK Semenyih," katanya lagi.

PRK Semenyih akan diadakan ekoran kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu.

Pada PRU lalu, Allahyarham mendapat 23,428 undi untuk menewaskan calon BN Johan Abdul Aziz (14,464), calon PAS Mad Shahmidur Mat Kosim (6,966) dan calon PSM S Arutchelvan (1,293).

Ini bermakna gabungan undi BN dan PAS dalam PRU itu ialah 21,430 - tidak jauh berbeza dengan undi PH.

Pada sidang media 22 Januari lalu, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata parti itu akan membuka bilik gerakannya dan menggerakkan kerjasama dengan Umno dalam PRK DUN itu, berdasarkan arahan pusat.

 

Lihat Komen
ADS