Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK CAMERON | "Syabas Calon BN Ramli Mohd Nor yang menang. Pada masa yang sama takziah kepada MIC," demikian kata Setiausaha Khas Presiden PKR, R Suresh Kumar.

Menurut Suresh Kumar, walaupun MIC boleh bergembira kerana calon PH dikalahkan dalam PRK semalam, mereka perlu sedar kini hanya tinggal seorang saja wakil parti itu dalam Dewan Rakyat.

Kerusi berkenaan, kata Sureh Kumar, ialah Tapah yang diwakili Timbalan Presiden MIC, M Saravanan.

"Kemenangan Ramli di Cameron Highlands memang sudah dijangka dari awal, lebih-lebih kerana ia merupakan kubu kuat BN.

"Mereka tidak pernah kalah di sana. Jadi, saya ucapkan syabas kepada Ramli.

"Tetapi, pada masa yang sama saya simpati kepada MIC kerana mereka satu lagi kerusi parlimen parti itu sudah terlepas atas kemahuan Umno," katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, kerusi parlimen di kawasan tanah tinggi itu memang sukar ditembusi oleh parti selain BN sejak sekian lama.

Siapa bertanding lepas ini

Biasanya MIC diberi tanggungjawab mempertahankan kerusi berkenaan selama beberapa penggal. Daripada sekian banyak kerusi yang ditandingi MIC, mereka tidak pernah kalah di Cameron Highlands dan Tapah, termasuk ketika BN kecundang pada 9 Mei tahun lalu.

Namun, ekoran keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangan C Sivarraajh pada 30 Nov 2018 selepas mendapati berlaku amalan rasuah bagi mempengaruhi pengundi di kawasan itu semasa PRU lalu.

Naib presiden MIC itu juga dilarang mengundi atau menjadi calon dalam PRK kerusi terbabit.

MIC kemudian dilaporkan 'meminjamkan' Cameron Highlands kepada Umno selepas mengambil kira situasti politik semasa dan calon dari parti lain lebih berpeluang menang di situ.

Ekoran persefahama itu Umno meletakkan seorang bekas pegawai kanan polis yang juga dari suku Orang Asli sebagai calon, manakala PH mengekalkan M Manogaran.

Suresh Kumar berkata setakat apa yang diketahuinya kerusi Cameron Highlands hanya dipinjamkan oleh MIC kepada Umno.

Kini, katanya, dengan kemenangan dicapai semalam adakah kerusi itu akan dikembalikan kepada MIC atau kekal menjadi milik parti lain..

"Sekarang Ramli sudah menang. Maka, siapa yang akan bertanding pada masa akan datang? MIC atau Umno?" katanya.

Menurut Suresh Kumar, tindakan MIC memberikan kerusi tersebut kepada Umno menunjukkan parti tersebut tidak yakin dengan kekuatan sendiri.

Katanya, ia sikap yang sama ditunjukkan oleh MCA yang bertanding dengan logo sendiri semasa bertanding di PRK Balakong.

Berdasarkan apa yang berlaku sebelum ini, kata Suresh Kumar, terlalu sukar untuk MIC mendapat semula kerusi Cameron Highlands.

"Kemungkinan besar BN akan memberikan kerusi lain kepada dan biasanya merupakan kawasan pengundi bercampur.

"Dalam keadaan begitu, mengikut kecenderungan sekarang kerusi tersebut tidak akan memihak kepada MIC," katanya.

Sementara itu Suresh Kumar turut mengesahkan bahawa majoriti pengundi India di Cameron Highlands masih memihak kepada PH.

"Keputusan PRK Cameron sekali lagi menunjukkan MIC sudah tidak relevan kepada kaum India di Malaysia.

"Walaupun PH kalah, pengundi India masih setia dengan kami, seperti ditunjukkan dalam semua PRK selepas PRU ini.

"Saya pasti sokongan pengundi India kepada PH akan bertambah selepas Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri," katanya.

Lihat Komen
ADS