Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP gesa polis turut cari adik, kakak Jho Low
Diterbitkan:  Jan 27, 2019 3:02 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Susulan kenyataan polis bahawa mereka kini sedang mengesan ibu bapa Jho Low untuk siasatan 1MDB, Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa mereka turut memasukkan adik-beradik ahli perniagaan itu dalam senarai buruan mereka.

Beliau berkata adik lelaki Jho Low, Low Taek Szen pernah menjadi pengarah urusan Jynwel Capital - yang dikaitkan dengannya - dan mendakwa dia terlibat dalam transaksi untuk mencuci wang yang didakwa telah diselewengkan.

"Kakaknya, Low May-Lin pula memulakan kerja berkaitan BVI di firma undang-undang lamanya, dan kini menjadi peguam cara di Mahkamah Agung Kepulauan British Virgin.

"Beliau dipercayai pakar dalam struktur luar pesisir (offshore structure). Beliau mempunyai kepakaran untuk menubuhkan syarikat untuk keluarga, dan dipercayai telah berbuat demikian," katanya dalam kenyataan.

Pada 25 Januari lalu, Ketua Polis Negara Mohammad Fuzi Harun memaklumkan pihaknya sedang mengesan empat individu yang rapat dengan Jho Low untuk membantu siasatan 1MDB.

Mereka adalah ibu bapa Jho Low, iaitu Low Hock Peng dan Goh Gaik Ewe, warga Singapura yang juga pereka fesyen kegemaran Rosmah Mansor, Shabnam Naraindas Daswani @ Nastasha Mirpuri, dan seorang individu bernama Tan Kim Loong.

Lim menggesa Najib agar menjadi orang pertama untuk membantu polis mencari keluarga Jho Low.

"Beliau berulang kali mendakwa tidak bersalah dalam skandal kewangan terbesar dunia ini... Ini adalah peluang keemasan untuk membawa mereka yang menurutnya dalang 'sebenar', ke depan bagi membersihkan namanya dan membuktikan dirinya tidak bersalah.

"Umno dan parti komponen BN yang lain juga patut menawarkan hadiah untuk sesiapa yang boleh mengenal pasti lokasi Jho Low dan empat individu lagi dalam usaha membantu bos lama mereka (Najib) untuk membersihkan namanya daripada dakwaan penglibatan jenayah dalam 1MDB," katanya lagi.

.

Lihat Komen
ADS