BERITA Malaysiakini

PH: PRK Cameron Highlands peringatan buat kami

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Keputusan PRK Cameron Highlands perlu menjadi peringatan buat PKR dan juga Pakatan Harapan (PH) untuk memperbaiki beberapa kelemahan, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Ini menjadi peringatan kepada pimpinan PKR dan PH bahawa kita perlu peka terhadap kegelisahan rakyat berkaitan ekonomi dan kos sara hidup.

"Kita juga perlu berusaha lebih gigih untuk memenuhi manifesto PRU ke-14 serta menangani sebarang masalah berkaitan isu kaum dan agama dengan penuh hikmah demi kemaslahatan semua," katanya yang juga ketua umum PH dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, calon BN Ramli Mohd Nor menewaskan calon PH M Manogaran dengan majoriti 3,238 undi.

Ia lebih tinggi berbanding majoriti BN pada PRU lalu, iaitu 597 undi. Penganalisis berpendapat peningkatan undi itu hasil sokongan PAS, yang tidak bertanding kali ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata PH akan mengambil iktibar dan memperbaiki segala kekurangan menjelang PRK seterusnya, iaitu di DUN Semenyih pada 2 Mac ini.

Beliau yang juga timbalan presiden PH berkata, kejayaan menambah undi popular pada PRK itu - daripada 38 kepada 41 peratus - akan menjadi galakan kepada PH untuk membuat penambahbaikan pada masa akan datang.

"Ini kerana ada tanda-tanda apabila kita terus berkerja, nyata sekali boleh dapat sokongan tambahan," katanya seperti dipetik Bernama, hari ini.

Lim turut mengucapkan tahniah kepada Ramli atas kemenangannya dan menjadi Orang Asli pertama yang menjadi anggota parlimen.