Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Suara dari Cameron Highlands sudah kedengaran malam tadi. Masyarakat luar bandar — tidak kiralah sama ada Melayu, Cina, India dan Orang Asli - telah mengantar isyarat betapa ada yang canggung dan tidak memuaskan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

BN menang sekali lagi, selepas mahkamah pilihan raya mendapati calonnya dalam PRU lalu bersalah menyogok pengundi. Dalam keadaan rekod BN yang buruk sebegitu, PH bukan sahaja kalah, tetapi kecundang dengan majoriti lebih besar.

Kenapa dan mengapa?

Kalau hendak dikatakan keputusan Cameron Highlands sebagai protes pengundi Melayu, rasanya tidak betul sepenuhnya. Di sana, jumlah pengundi Melayu 35 peratus sahaja.

Jika kesemua pengundi Melayu mengundi BN, BN tetap tidak akan menang. BN hanya boleh menang dengan undi yang turut disumbang oleh pengundi Cina (32 peratus), India (13 peratus) dan Orang Asli (21 peratus).

Kalau dilihat pecahan kaum, kerusi seperti parlimen Cameron Highlands adalah lebih sesuai ditandingi PKR, bukannya DAP.

Selama ini, apa yang diuar-uarkan, dan konon sebagai formula asas, pembahagian kerusi di kawasan campuran adalah lebih cocok ditandingi PKR, tapi nampaknya tidak terpakai. Sampai di Cameron Highlands, formula tersebut berderai. DAP sebenarnya cuba menguasai kawasan bukan Melayu dan juga kawasan campuran.

 

Calon DAP M Manogaran sudah tiga kali bertanding. Tiga kali kalah.

Ketika beliau memakai lambang PKR dalam PRU lalu, keputusannya lebih baik dengan memperolehi 9,710 undi.

Kali ini, beliau memperolehi 8,800 undi. Majoriti yang terhempap ke atas kepala calon DAP itu juga semakin besar iaitu 3248, berbanding 597 dalam PRU lalu.

Semua faktor di atas menjadikan keputusan Cameron Highlands boleh dilihat sebagai gambaran ngauman suara masyarakat luar bandar.


BacaPRK Cameron: PAS dukung BN tuai hasil kerjasama


Beberapa pilihan raya kecil sebelum ini sama ada dua DUN di Selangor dan Parlimen Port Dickson, bukan sangat melibatkan kawasan luar bandar. Kawasan berkenaan lebih kepada bandar atau pinggir bandar; ditambah faktor demam keputusan 9 Mei yang menjadikan PH punya kelebihan. Kini tarikh 9 Mei semakin jauh meninggalkan, dan rakyat kembali berfikir secara waras.

Lagi lagi Najib, 1MDB

Sekali lagi, apa yang menarik, di Cameron Highlands juga tidak melibatkan kawasan populasi Melayu yang terlalu dominasi. Kalau pengundi Melayu 60-70 peratus, takut-takut parti yang kalah akan sekali lagi berselindung di sebalik watak mangsa sentimen perkauman.

Skripnya mudah, iaitu konon orang Melayu tidak menerima PH, maka DAP kalah. Antara DAP dengan PH adalah dua entiti yang walaupun sama tapi tidak serupa.

Kali ini, nampaknya bukan sangat orang Melayu yang ‘memberontak’, tetapi ada tanda keseluruhan pengundi luar bandar tanpa mengira kaum yang memberi pukulan kepada calon DAP-PH. Bagi sesetengah orang, PH memang perlu dikalahkan kerana mula dilihat berperangai seperti kaduk naik junjung.

Kenyataan yang tidak boleh disembunyikan lagi ialah masyarakat luar bandar dan miskinlah yang paling teruk terkesan apabila PH mengambil alih Putrajaya. Semua janji yang diingkari selalu mudah ditutup dengan satu alasan: “kerajaan dah tak ada duit, dah kena curi oleh 1MDB.” Maka, tutup cerita!

Sepanjang tempoh kempen, terlalu mudah dibaca bagaimana DAP-PH berusaha menjadikan Najib Razak sebagai beg pukulan. Senang cakap, sebagai kambing hitam apabila yang dibangkitkan masih lagi cerita 1MDB dan ‘hantu’ Altantuya.

Menyentuh skandal 1MDB, isu berkenaan yang dimainkan berlebihan telah membawa musibah berganda kepada rakyat. Ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga.

Jatuhnya apabila duit rakyat lesap; dan ditimpa tangga apabila PH pula tidak habis-habis menggunakannya untuk melepaskan diri atau menutup kelemahan pentadbiran yang begitu lembab memulih serta memacu semula ekonomi.

Najib bukan lagi perdana menteri. Najib sudah pun didakwa di mahkamah dengan puluhan tuduhan. Ketika Najib dilarang atau dianjing-anjingkan kerana menjejak kaki untuk berkempen tempohari, kenyataan sebegitu nampaknya menjadi serangan berlebihan atau overkill yang menyebabkan pengundi Cameron Highlands jadi meluat.

Tanpa Najib, PH seperti tak ada modal. Tak ada dasar dan program besar kerajaan baru yang boleh jual.

Cuba tiada gaji tiga bulan

Strategi tular sesetengah menteri seperti isi petrol di stesyen minyak atau memandu kereta sendiri, juga memakan tuan. Media sosial Najib lebih menghiburkan - yang telah membuatkan lawannya sama ada di pihak PH atau dalam Umno sendiri cemburu buta.

Ketika kemaruk kebanyakan menteri dan pemimpin mencari like dan retweet, apa yang dilupakan ialah isu kesengsaraan hidup rakyat. Masyarakat luar bandar sebenarnya sedang menilai betapa golongan yang paling mendapat manfaat daripada kejatuhan rejim BN tidak lain adalah sekelompok kecil pemimpin politik yang kini menjadi menteri atau memegang jawatan tinggi. Rakyat cuma percaturan politik.

Orang luar bandar juga melihat bagaimana menteri tanpa rasa malu ke luar negeri dengan begitu kerap, dan di dalam negeri pun tidak putusnya pemimpin memakai kapal terbang atau helikopter. Hidup mereka berubah sekali.

Bagaimana pula para pemimpin itu boleh tidak berasa bersalah ketika masuk melawat kampung-kampung? Mereka boleh buat selamba dan mampu pula bertentang mata dengan orang kampung tanpa rasa malu! Dengan gaya hidup yang tidak kalah mewah, menjadi soalan, apakah benar ekonomi negara berada dalam keadaan parah?

Oleh itu, menteri yang turun berkempen dengan memakai anyaman kepala orang asli pun tetap tidak dapat memukau kesucian hati Orang Asli untuk berpaling menyokong PH. Lakonan itu juga tidak membuatkan kehidupan masyarakat luar bandar umumnya segera bertambah baik. Anehnya di ketika sama, rakyat pula diminta bersabar dua-tiga tahun sebelum ekonomi dikatakan dapat dipilihkan.

Secara perbandingan, kalaulah menteri boleh tidak menerima gaji - jangankan tiga tahun - tiga bulan pun rasanya mereka sudah merasa deritanya. Kini sudah tujuh bulan hidup orang luar bandar sengsara.

Peneroka Felda menangis tidak berair mata. Harga sawit lebih murah daripada belacan, kata mereka. Begitu juga pekebun kecil yang semakin merempat tidak tahu ke mana hendak mengadu nasib.

Mujurlah di Cameron Highlands tidak ada jalan bertol yang terpaksa ditempoh penduduknya setiap hari. Kalaulah penduduk Tanah Rata macam orang di Seri Iskandar, Ipoh Timur, Puchong, Air Hitam atau banyak tempat yang bersentuhan jalan bertol, tak mustahil majoriti yang diperolehi BN akan lebih besar.

Keputusan PRK semalam hanyalah kelocak kecil di gigi air. Tapi kelocak itu boleh menjadi arus balik tsunami yang tidak kurang besarnya seperti yang pernah menimpa BN. Tanda-tandanya mulai kelihatan bukan di kota-kota, tapi di desa dan pendalaman.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS