Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN guna sentimen kaum, agama punca PH kalah - Mujahid
Diterbitkan:  Jan 27, 2019 4:10 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Kempen menggunakan sentimen perkauman dan agama oleh BN dengan kerjasama PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands menjadi punca kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata sentimen dimainkan pakatan pembangkang itu jelas merupakan fitnah terhadap beliau dan kerajaan PH.

"Mereka menuduh saya tidak menjaga agama, jual Tabung Haji (TH) dan saya ikut telunjuk DAP. Semua itu fitnah.

"Ini jelas orang Melayu masih boleh dimainkan dengan sentimen-sentimen Melayu dan Islam dan secara keseluruhan kempen BN itu mencemar usaha kerajaan PH untuk mewujudkan Malaysia Baru," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pesta Pongal di Parit Buntar hari ini.

Beliau mengulas kemenangan BN pada PRK Parlimen Cameron Highlands semalam apabila Ramli Mohd Noor daripada BN meraih 12,038 undi untuk menewaskan calon PH M.Manogaran (8,800 undi), dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee 276 undi.

Dr Mujahid, anggota Parlimen Parit Buntar berkata berikutan kemenangan BN pada PRK itu, pihaknya bimbang BN akan menggunakan sekali lagi sentimen perkauman dan agama pada PRK Dewan Undangan Negeri Semenyih, Selangor dan Rantau di Negeri Sembilan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS