Anak Maria Chin ditikam perompak
Anak lelaki Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah ditikam dalam suatu cubaan rompakan hari ini.
The Star melaporkan kejadian berlaku di sebuah kawasan di Taman Bukit Mayang Emas.
Anak lelakinya itu dilaporkan dalam keadaan stabil.
Maria memberitahu Malaysiakini anaknya itu sedang berjalan ketika diserang.
"Dia sedang berjalan dan datang seorang lelaki dari arah belakang. Menolaknya jatuh, menetak lengannya sebelum menikamnya.
"Mujur ada motosikal lalu dan perompak itu lari. Saya dan anak-anak dalam keadaan trauma. Tetapi dia stabil sekarang dan pembedahan akan dijalankan malam ini. Semoga keadaannya baik," kata bekas pengerusi Bersih itu.
Polis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata mangsa berusia 26 tahun itu ditikam di bahagian kanan perutnya ketika sedang berjoging di kawasan itu pada kira-kira 6 petang.
“Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan dan dilaporkan stabil,” katanya dalam suatu kenyataan media tanpa menyebut nama mangsa.

