Anak lelaki Maria Chin stabil selepas pembedahan
Anak lelaki sulung Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah yang menjalani pembedahan malam tadi, selepas ditikam dalam satu cubaan rompakan, kini dalam keadaan stabil.
"Dia tidak lagi dalam keadaan bahaya. Pembedahan berjalan dengan baik dan dia kini dalam pemantauan," katanya menerusi satu pesanan teks.
"Sangat melegakan! Terima kasih atas keprihatinan. (Saya) sangat hargainya," katanya lagi.
Insiden itu berlaku di sebuah taman di Taman Mayang Emas, Petaling Jaya, ketika anak lelakinya yang berusia 26 tahun sedang berjalan, semalam.
"Dia sedang berjalan dan datang seorang lelaki dari arah belakang. Menolaknya jatuh, menetak lengannya sebelum menikamnya.
"Mujur ada motosikal lalu dan perompak itu lari. Saya dan anak-anak dalam keadaan trauma," kata bekas pengerusi Bersih itu kepada Malaysiakini semalam.
Menurut Bernama, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata mangsa ditikam di sebelah kanan perut ketika sedang berjoging pada kira-kira pukul enam petang.

