Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Formula Rais untuk PH menang di Semenyih
Diterbitkan:  Jan 28, 2019 11:34 AM
Dikemaskini: 3:34 AM

Bekas menteri, Rais Yatim mempunyai formula tersendiri untuk Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kerusi DUN Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mac depan.

“Tutup satu tol, kurangkan harga minyak untuk motoris Malaysia.

“Tunai janji Felda pra-Mei 2018. Buat stok penimbal beras, tepung, minyak masak, susu anak. Smenyih menang,” ciapnya di laman Twitter.

Ketua Bersatu Negeri Sembilan itu mengemukan cadangan berkenaan kepada kerajaan susulan kekalahan Pakatan Harapan pada PRK Parlimen Cameron Highlands kepada Barisan Nasional Sabtu lalu.

"Mungkir janji orang tak suka, orang tak pilih kita. Pimpinan atasan PH tentu lebih daripada faham kenapa kalah di Cameron Highlands,” katanya.

Pada PRK Cameron Highlands itu, calon BN, Ramli Mohd Nor mengalahkan calon PH, M Manogaran dengan undi majoriti 3,238 undi.

Manakala PRK Semenyih pula akan diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu, Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Januari lalu.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Semua kerusi itu dimenangi oleh Pakatan Harapan.

Lihat Komen
ADS