Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad mendedahkan ada pemimpin Umno peringkat cawangan yang sengaja menyekat kemasukan ahli baru, semata-mata kerana takut kehilangan jawatan.

Beliau berkata, pihaknya mendapat laporan terdapat ketua Umno cawangan menolak permohonan ahli baru kerana bimbang orang baru itu akan menggugat kedudukan mereka kelak.

"Mereka menganggap orang muda yang pandai sedikit sebagai satu cabaran kepada mereka. Kerana bimbang dicabar, mereka tidak berusaha untuk menambah ahli baru. Walaupun ada menerima permohonan baru, tetapi ianya disimpan dalam laci.

"Ini banyak berlaku dalam Umno kerana mereka takut jawatan sendiri tergugat, lalu tidak mahu berusaha menambah ahli baru," kata Radzi dalam Buletin Pewaris terbitan Biro Latihan dan Keahlian Ibu Pejabat Umno.

Dalam edisi pertama buletin itu, beliau berkata, gejala seperti itu menghantui pemimpin cawangan dan bahagian kerana mereka tahu dengan jawatan yang dipegang, banyak kemudahan dan peluang akan diperolehi.

Buletin Pewaris diedarkan kepada ahli Umno yang menghadiri program Keluargaku Ahli Umno yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara Sabtu lalu.

Menurut beliau, oleh kerana Umno berkuasa, semua orang mahu menjadi ketua cawangan, bahagian dan seterusnya.

Radzi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, bagi mengurangkan kerenah birokrasi di peringkat akar umbi itu, ibu pejabat Umno kini melonggarkan cara permohonan menjadi ahli baru dengan sistem pesanan ringkas (SMS).

Yuran tahunan

Beliau menjelaskan, melaui kaedah baru ini, selepas menghantar SMS, pemohon hanya perlu mengisi dan menghantar borang permohonannya kepada Ibu Pejabat Umno untuk kelulusan.

" Bagaiamanapun, ini tidak bermakna permohonan itu diluluskan serta-merta," ujarnya.

Menurutnya lagi, permohonan menjadi ahli di cawangan juga sudah dipermudahkan dengan pemohon hanya perlu menghantar kepada ketua cawangan dan selepas itu, ketua cawangan boleh menghantarnya terus kepada ibu pejabat Umno.

Katanya, sebelum ini semua permohonan yang dibuat menerusi cawangan perlu dihantar ke bahagian terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada ibu pejabat.

"Selepas ibu pejabat menerimanya dari cawangan, ia akan dimaklumkan kepada bahagian berkenaan. Ini akan mengurangkan risiko kesukaran menjadi ahli Umno peringkat cawangan dan bahagian," katanya.

Radzi berkata, Umno kini mempunyai kira-kira 19,000 cawangan di seluruh negara.

Beliau juga memberitahu, Umno bercadang menggunakan SMS untuk mengutip yuran tahunan dari ahli-ahlinya.

Radzi berkata, perlaksanaan sistem SMS itu akan memudahkan ahli membayar dan menyemak yuran tahunan mereka.