2 wanita maut kerana kupon makan percuma
Dua wanita warga emas meninggal dunia manakala beberapa yang lain pitam ketika sekumpulan orang berebut-rebut untuk mendapatkan kupon makan percuma di Kompleks ICC Pudu hari ini.
Dua yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Law Ion Nang, 78, dan Ah Poh, 85.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharuddin Abdullah, berkata pihaknya dimaklumkan oleh orang awam tengah hari tadi.
Katanya polis diberitahu ada lima hingga enam orang yang pengsan di kawasan pintu masuk pasar basah kompleks tersebut ketika pengagihan kupon berlangsung.
Menurut Shaharuddin sepasukan anggota polis dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapat kedua-dua wanita terbabit terbaring di atas lantai.
"Mereka dipercayai meninggal dunia kerana sesak nafas.
"Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah atau khianat berlaku," katanya.
Shaharuddin menambah, polis diberitahu penganjur menyediakan 200 keping kupon untuk warga emas di kawasan berkenaan.
Katanya kupon berkenaan diagih-agihkan mulai jam 11 pagi hingga 1 petang dan boleh ditebus pada 11 Feb depan.
"Bagaimanapun kira-kira 1,000 orang datang untuk mendapatkan kupon tersebut," katanya.
Mayat kedua-dua wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

