Setiausaha Dewan Rakyat, Roosme Hamzah dilaporkan telah diberikan lanjutan kontrak selama setahun.

Roosme, yang telah menjadi setiausaha Dewan Rakyat sejak 2007, sepatutnya bersara mandatori pada 22 Februari ini.

Bagaimanapun, sumber memberitahu Malaysiakini, bahawa kontraknya telah dilanjutkan untuk membantu memudahkan peralihan kuasa Pakatan Harapan dan memulakan inisiatif pembaharuan.

"Beliau telah berkhidmat di Parlimen untuk tempoh yang lama dan mempunyai pengalaman luas serta ramai kenalannya. Kita akan melakukan pembaharuan ke atas Parlimen, dan lebih baik kita kekalkan orang yang berpengalaman daripada mencari orang baru," kata sumber itu.

Menurut beliau, Roosme juga mampu mengendalikan tugas menyelaras antara semua soalan dan jawapan kementerian serta jabatan dengan baik.

"(Lebih-lebih lagi) semasa era BN, tiada pengganti dilatih untuk mengisi jawatan setiausaha.

"Jika kita tiba-tiba melantik orang lain untuk kerja itu, dan jika berlaku kesilapan dengan titah ucapan Agong, maka (kerajaan Harapan) akan dipersalahkan," kata sumber itu.

Pelanjutan perkhidmatan itu ini adalah tertakluk kepada kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam, tetapi Malaysiakini difahamkan bahawa Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menyokong langkah itu.

Roosme menjadi pegawai Parlimen sejak tahun 2001.

Malaysiakini telah menghubungi Roosme untuk mendapatkan ulasannya.