Bukan kes mak nyah, tapi lelaki pukul wanita
Pihak berkuasa wajar menangani isu mak nyah yang bertindak ganas sebagai perbuatan seorang lelaki bagi mengelakkan gejala itu berleluasa, kata Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Menurut mufti Perlis itu, jika tidakan tegas tidak diambil, akan ada lelaki lain yang mengambil kesempatan untuk menzalimi wanita.
Kata Mohd Asri, pada masa sama masyarakat pula tidak menunjukkan sikap sensitif apabila melihat mak nyah menzalimi wanita seperti mana mereka melihat lelaki memukul wanita.
"Masyarakat hanya akan kata: mak nyah pukul perempuan sedangkan pada hakikatnya ia melibatkan lelaki memukul perempuan," katanya melalui hantaran di media sosial hari ini.
Tanpa merujuk secara jelas mengapa kenyataan tersebut dibuat, dipercayai mufti Perlis itu berkata demikian sebagai mengulas satu klip video yang tular sejak semalam.
Melalui rakaman berkenaan, ada seseorang dilihat menarik tagan seorang wanita jurujual dipercayai di sebuah kompleks beli-belah.
Individu terbabit - dipercayai seorang mak nyah - mengherdik jurujual berkenaan sebelum menampar beberapa kali. Hanya selepas ditampar kali ketiga barulah jurujual terbabit melawan.
Jangan keliru dengan penampilan
Bagaimanapun tidak banyak maklumat diperolehi mengenai kejadian tersebut setakat ini.
Menurut Mohd Asri Islam hanya mengiktiraf du jantina iaitu lelaki atau perempuan, dan menganggap "bidaah" bagi jantina yang dinamakan mak nyah atau yang seumpama dengannya.
Pada masa sama beliau berkata memperagakan pakaian perempuan dan bergaya seperti perempuan tidak akan mengubah hakikat bahawa individu terbabit seorang lelaki.
"Jika kita tidak menangani kelompok songsang ini, banyak hak wanita - bahkan hak lelaki - yang akan dicerobohi.
"Maka, jika melihat mak nyah memukul perempuan, bertindaklah seperti kita melihat lelaki memukul perempuan.
"Jangan dikelirukan dengan penampilan yang palsu," katanya.

