Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mujahid: Konsep 'rahmatan lil alamin' baik tapi dirompak pihak tertentu

Pendekatan 'rahmatan lil alamin' adalah cukup baik tetapi ia "dirompak" oleh pihak yang mempunyai kepentingan tertentu, kata Dr Mujahid Yusof.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, konsep itu diketengahkannya bagi menjawab radikal Islam.

Bahkan katanya, pendekatan itu bukanlah perkara baru, sebaliknya mencontohi Rasulullah SAW dalam usaha menyebarkan dakwah.

"(Konsep) rahmatan lil alamin ini mahu menjawab kepada soal radikalisasi agama. Asas yang membina konsep rahmatan lil alamin ini penting.

"Apa yang berlaku apabila agama dan kaum dijadikan alat politik? Saya tidak kata mana-mana parti politik, kalau parti saya buat, saya akan lawan.

"Inilah model Islam yang kita hendak bawa, ini bukan sebab (mahu tonjolkan) Mujahid," katanya ketika sesi Townhall bersama penyelidik dan pengamal media di Kuala Lumpur hari ini.

Keadilan untuk semua

Gagasan 'rahmatan lil alamin' yang secara harfiah bererti "rahmat untuk sekalian alam" diketengahkan Mujahid selepas beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menjaga hal ehwal agama Islam.

Bagaimanapun, pendekatan itu mendapat kritikan segelintir agamawan susulan tindakannya menyantuni kumpulan tertentu seperti LGBT.

Malah, ada yang beranggapan konsep 'rahmatan lil alamin' yang dibawa Mujahid sebagai "berlembut" dengan kemungkaran.

Mujahid bagaimanapun menegaskan konsep 'rahmatan lil alamin' dalam pelaksanaan Islam di negara ini tidak membawa maksud kerajaan akan berlembut dengan perbuatan mungkar atau bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau berkata ia juga tidak bermakna kerajaan mengiktiraf perbuatan mungkar oleh orang Islam atau bagi meringankan hukuman ke atas perlakuan yang tidak selari dengan tuntutan agama.

Sementara itu Mujahid berkata, 'rahmatan lil alamin' adalah konsep yang menyeluruh menekankan keadilan untuk semua dan turut menekankan aspek kemanusiaan.

Katanya, terdapat sesetengah pihak dalam kalangan umat Islam yang suka melaknat sesama sendiri.

"Kenapa masyarakat kita apabila bercakap soal Islam suka melaknat orang lain? Seolah-olah bila dapat laknat orang lain lagi hebatlah Islam dia.

"Sehinggakan hari ini orang yang mahu bercakap soal kemanusian akan jadi (dilabel) liberal," katanya.

Dengan mengambil contoh insiden yang membawa kepada kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Mujahid berkata adalah tidak adil jika umat Islam marahkan kaum India secara keseluruhannya.

"Kerana yang melakukan kesalahan itu bukan bangsa, sebaliknya individu tertentu dalam kaum berkenaan.

"Begitu juga dengan bangsa Melayu, tidak semua orang Melayu baik dan ada juga dalam kalangan masyarakat Melayu yang melakukan jenayah seperti rasuah," katanya.

Lihat Komen
ADS