Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tersungkur di Cameron Highlands, mampukah PH bangkit di Semenyih?

Sebulan lagi, Pakatan Harapan (PH) akan berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK). Kali ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Selangor, yang akan berlangsung pada 2 Mac nanti.

Meskipun menang selesa dengan 8,964 majoriti undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, PH perlu peka pada perubahan politik yang kini menyaksikan BN dan PAS sebagai pencabar yang tidak boleh dipandang remeh.

Sabtu lalu, di PRK Cameron Highlands, BN dan PAS membuktikan bahawa musuh yang paling ketat pun boleh berubah menjadi sahabat paling rapat - dan kerjasama itu berjaya menawan majoriti undi orang Melayu di situ.

Begitupun, jika dilihat pada rekod PRU lalu, PH mungkin boleh menarik nafas lega memandangkan jumlah undi yang diraih BN dan PAS masih 1,998 undi di belakang PH.

Untuk rekod, pada PRU lalu, BN dan PAS bertanding secara berasingan di Semenyih, dengan BN di tempat kedua selepas PH, manakala calon PAS pula meraih undi ketiga terbanyak.

Turut perlu dimasukkan perkiraan, pola pengundian di Cameron Highlands yang menunjukkan undi Melayu terhadap PH masih tidak terjejas, malah sebenarnya meningkat.

Faktor pengundi bukan Melayu

Bagi DUN Semenyih, pengundi Melayu terdiri daripada 67 peratus, pengundi Cina 17 peratus dan India 14 peratus.

Namun, tidak boleh dinafikan, kemenangan di Cameron Highlands dilihat memberikan semangat baru buat BN, dan tidak mustahil gabungan itu  mencuri undi penyokong PH yang sedia ada.

Di Cameron Highlands, kempen BN berkisar tentang kos sara hidup, janji manifesto PH yang belum sepenuhnya ditunaikan serta kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pusat penyelidikan kerajaan Selangor, Insitut Darul Ehsan memberi amaran bahawa retorik Umno dan PAS itu mampu memenangi hati orang Melayu sama ada di bandar mahupun pinggir bandar sekiranya PH gagal meredakan kebimbangan berhubung isu berkenaan.

Sementara itu, PH juga dilihat harus memastikan pengundi bukan Melayu keluar mengundi pada PRK Semenyih nanti.

Pada PRK Cameron Highlands, di kawasan majoriti Cina dan India, jumlah keluar mengundi berada bawah paras purata 68.79 peratus.

Manakala pengundi Melayu yang keluar mengundi pula mencatat jumlah 70.46 peratus.

PRK Semenyih diadakan susulan penyandang DUN Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu meninggal dunia tiga minggu lalu.

Allahyarham Bakhtiar merampas kerusi itu daripada BN dalam pertembungan empat penjuru pada 9 Mei lalu.

Selain PH dan BN, S Arutchelvan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga dijangka sekali lagi bertanding untuk kerusi tersebut.

Sama ada bekas perdana menteri Najib Razak akan sekali lagi turun padang bagi membantu kempen BN di Semenyih seperti yang dilakukannya di Cameron Highlands, masih tidak dapat dipastikan.

Hari penamaan calon bagi PRK Semenyih dijadualkan pada 16 Februari.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS