Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan tampil memulangkan paku buah keras terhadap Naib Presiden Amanah, Husam Musa.

Menurutnya, selepas banyak cadangan dikemukakan tidak dipedulikan kerajaan persekutuan anggota dewan negara itu cuba mencari publisiti dengan meyerang kerjasama PAS dan Umno mutakhir ini.

"Selepas banyak cadangan Husam tidak dipedulikan kerajaan antaranya sumbu jimat minyak, penubuhan Majlis Tindakan dan Pembangunan Negeri Kelantan dan teknologi perubatan ganja, kini beliau cuba mencari publisiti baru dengan menyerang kerjasama politik PAS dan Umno yang dilihat membuahkan hasil di PRK Cameron Highlands.

"Kerjasama politik PAS dan Umno bermula selepas PRU Ke-14. Kerjasama terjalin disebabkan kelemahan besar Pakatan Harapan (PH) mengemudi negara termasuk gagal melunaskan janji manifesto yang ditaburkan kepada rakyat," katanya dalam satu tulisan dalam Harakahdaily, hari ini.

Terdahulu, Husam yang juga bekas naib presiden PAS menyifatkan kerjasama antara PAS dan Umno hanyalah sia-sia kerana tidak mempunyai asas yang jelas.

Kerbau selamatkan buaya

Bekas exco kanan kerajaan negeri Kelantan itu mengibaratkan konteks kerjasama kedua-dua parti yang pernah berseteru itu ibarat kerbau cuba menyelamatkan buaya yang tersepit.

Nasrudin berkata, kerjasama PAS dan Umno terjalin selepas banyak penipuan dan pengkhianatan yang berlaku.

Oleh sebab itu katanya satu koalisi pembangkang yang kuat perlu ditampilkan bagi mengimbangi kemaruk kuasa PH.

"Kerjasama kedua-dua parti juga terpaksa dilakukan ekoran pengaruh DAP cukup besar dalam PH sehingga membawa agenda yang merugikan Islam dan umat Islam di Malaysia.

"Bermula dengan percaturan dalam jawatan penting negara, penggunaan tulisan Cina dalam urusan rasmi dan papan tanda, ketidakadilan dalam peruntukan belanjawan, pengiktirafan UEC, tuntutan hak milik tanah di Perak, agenda LGBT serta Icerd dan pelbagai lagi.

"Maka, kerjasama politik PAS dan Umno perlu diperkukuhkan supaya kepentingan Islam dan Melayu terbela," jelasnya.

Bekas anggota parlimen Temerloh itu berkata, peranan itu tidak boleh dimainkan Amanah.

Justeru katanya, setiap kerjasama politik semasa yang dijalinkan oleh PAS mempunyai garis panduan yang diwujudkan.

"Husam tidak tahu perbincangan dalaman parti sebab beliau bukan lagi ahli PAS. Sejarah panjang PAS menyaksikan pelbagai wajah kerjasama politik dilaksanakan, menggarap tindakan demi kepentingan Islam dan perjuangannya.

"Alhamdulillah, sepanjang itu juga, perkiraan strategi dan rencana pendekatan PAS sering menjadikan PAS lebih diterima oleh masyarakat.

"Tanpa menafikan ada yang meninggalkan PAS, namun 10 orang pergi meninggalkan PAS, alhamdulillah 1,000 orang pula datang menyertai PAS," tegas Nasrudin.