RON95-Euro 4M hanya digunakan mulai 2020
Kerajaan bersetuju menangguhkan penggunaan petrol berkualiti tinggi yang mengikut standard bahan bakar Eropah (RON95-Euro 4M) sehingga 1 Jan 2020, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menurut Saifuddin Nasution Ismail Malaysia sepatutnya mula menggunakan petrol RON95-Euro 4M pada Disember tahun lepas.
Katanya, perkara tersebut dibawa kepada pengetahuan kabinet dan keputusan menunda penggunaannya mendapat persetujuan mereka.
“KPDNHEP telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat minyak untuk menangguhkan tempoh penggunaannya di Malaysia sehingga 2020," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Petronas Primax 95 dengan Pro-Drive, di Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kerajaan masih belum bersedia melaksanakan penggunaan bahan bakar RON95-Euro 4M kerana PH perlu menumpukan kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Namun begitu, penangguhan (penggunaan RON95-Euro 4M) tidak akan berlarutan dengan terlalu lama kerana negara terikat dengan komitmen penjanjian antarabangsa yang memerlukan kita menyumbang kepada persekitaran yang lebih sihat,” tambahnya.
- Bernama

