Dr M: Saham Proton jatuh kerana kurang keyakinan pelabur
Kejatuhan harga saham Proton Holdings Bhd ke paras terendah hingga pada satu ketika berada di paras bawah RM5 memperlihatkan hakisan keyakinan pelabur terhadap ketidaktentuan masa depan syarikat pengeluar kereta nasional itu untuk menjalinkan perkongsian strategik dengan pembuat kereta asing, kata Penasihat Proton Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kejatuhan harga saham Proton Holdings Bhd ke paras terendah hingga pada satu ketika berada di paras bawah RM5 memperlihatkan hakisan keyakinan pelabur terhadap ketidaktentuan masa depan syarikat pengeluar kereta nasional itu untuk menjalinkan perkongsian strategik dengan pembuat kereta asing, kata Penasihat Proton Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, ketidaktentuan melanda tentang keupayaan Proton untuk menjalinkan hubungan dengan pengeluar kereta asing di mana ia tidak terhad kepada Volkswagen AG sahaja yang dilaporkan mengumumkan penamatan perikatan strategik dengan Proton awal bulan ini.
"Ketidaktentuan ini bukan sahaja pada VW. Dengan yang lain-lain pun ada ketidaktentuan. Sebab itu harga saham Proton jatuh mendadak," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Kolej WIT di Pandamaran di Pelabuhan Klang hari ini.
Dr Mahathir berkata, saham Proton meningkat ke paras RM9 apabila bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff meninggalkan syarikat itu dan kini harga kaunter itu adalah kira-kira RM5.40 dan satu ketika berada di paras RM5 dengan laporan penamatan perkongsian strategik dengan Volkswagen.
"Nampak orang kurang percaya dengan masa depan Proton," katanya dalam laporan Bernama.
Proton, sebelum ini mendapat kritikan ramai apabila menjual anak syarikat di Itali, MV Agusta Motor dengan harga 70 juta euro (RM315 juta) pada harga 1 euro (RM4.50) sahaja.
Belum reda dengan isu tersebut, Volkswagen AG pula dilaporkan mengumumkan penamatan perkongsian strategik dengan Proton baru-baru ini.
Keadaan diburukkan lagi oleh kenyataan pengeluar kereta Korea, Hyundai dan Mitsubishi dari Jepun, bahawa mereka turut tidak berminat untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan Proton.
'Tiada dimaklumkan'
Dr Mahathir berkata, Proton tidak memaklumkan kepada beliau mengenai perkembangan hubungan mereka dengan Volkswagen (VW).
Memandangkan beliau "tidak ada" di dalam pengurusan Proton, katanya, beliau mendapat maklumat perkembangan tersebut melalui suratkhabar.
Katanya, VW sebaliknya memaklumkan kepada beliau bahawa pengeluar kereta Jerman itu berminat untuk bekerjasama dengan Proton jika caranya bersesuaian.
"Dia (VW) minat hendak berkerjasama tapi cara-caralah. Kalau cara itu sesuai, dia bolehlah kerjasama, saya ingat, InsyaAllah," katanya.
Ditanya sama ada VW mahu menamatkan jalinan dengan Proton kerana ketiadaan Tengku Mahaleel sebagai peneraju Proton, Dr Mahathir berkata: "Itu saya tidak tahu."
Dr Mahathir berkata, beliau dan Tengku Mahaleel pernah berbincang dengan VW sebelum ini memandangkan pembuat kereta itu amat berminat untuk berkerjasama dengan Proton.
Beliau juga tidak dapat memastikan sekiranya perubahan dasar Proton menyebabkan VW tidak berminat menjalinkan hubungan dengan pengeluar kereta nasional itu.
"Mungkin dasar-dasar sudah ditukar, jadi mungkin kerana itu saya tidak tahulah. Tapi dulu dia (VW) sangat minat," katanya.

