Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) hari ini merakamkan penghargaannya kepada kerajaan Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan di atas sokongan padu terhadap Palestin dengan mengharamkan atlet Israel memasuki Malaysia.

Penghargaan itu disampaikan dalam satu pertemuan antara delegasi PCOM yang diketuai pengerusinya Muslim Imran dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim di pejabatnya di Putrajaya pada Selasa.

Menurut kenyataan PCOM, dalam ucapannya timbalan menteri itu berkata perjuangan rakyat Palestin adalah perjuangan kemanusiaan untuk mendapatkan kebebasan, yang mana semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang seharusnya memberikan sokongan padu.

Beliau juga mahu lebih banyak komunikasi antara rakyat dan institusi di kedua-dua negara demi kepentingan bersama.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 10 Januari dilaporkan berkata, kerajaan tegas dengan pendirian tidak membenarkan atlet Israel menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak dari 29 Julai hingga 4 Ogos.

Pada Ahad, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa melucutkan hak Malaysia sebagai tuan rumah kerana Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal memberi jaminan atlet Israel boleh menyertai kejohonan itu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS