Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak Altantuya: Saya terpaksa tukar nama lepas kematian emak

Anak sulung Altantuya Shaariibuu hari ini mendedahkan dia terpaksa menukar namanya akibat kontroversi sekitar kematian warga Mongolia itu.

Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, Bayarkhuu Bayarjargal, 21, berkata nama asalnya ialah Mungunshagai Bayarjargal tetapi menukarnya lima tahun selepas kematian ibunya pada 2006.

"Saya terpaksa tukar nama kerana menerima perhatian negatif selepas kematian emak.

"Kerana semua publisiti negatif ini, saya sering diejek dan dibuli di sekolah," katanya.

Bayarkhuu berusia sembilan tahun ketika ibunya dibunuh.

Selepas beberapa tahun berdepan cabaran itu, katanya lagi, dia dan datuknya Shaariibuu Setev membuat keputusan langkah terbaik adalah menukar namanya.

Bayarkhuu merupakan plaintif ketiga dalam saman sivil RM100 juta yang difailkan terhadap Abdul Razak, kerajaan Malaysia dan dua individu yang disabit kesalahan atas pembunuhan Altantuya.

Menyifatkan Altantuya sebagai ibu penyayang, Bayarkhuu berkata beliau berasa sangat sedih dan kesunyian selepas kematiannya.

"Saya lebih sakit dan marah apabila tahu dia dibunuh di Malaysia.

"Sangat menyakitkan apabila orang di sekeliling saya sentiasa bercakap tentangnya," katanya, memaklumkan dia secara tidak sengaja mendapat tahu tentang punca kematian ibunya daripada datuk dan neneknya.

'Dihantui kematian'

Membesar di pekan kecil, Bayarkhuu berkata dia terpaksa menghabiskan cuti musim panas bersama saudara yang tinggal jauh dari rumahnya untuk melarikan diri daripada cakap-cakap jiran.

Kontroversi sekitar kematian Altantuya (gambar) terus menghantuinya apabila dia meningkat dewasa, katanya.

"Saya mengambil masa bertahun untuk biasakan diri dengan kata-kata masyarakat dan persepsi negatif terhadap keluarga, apabila saya sedar tiada apa dapat menghentikan sesiapa daripada bercakap tentang kematiannya.

"Misalnya saya menjalinkan hubungan dengan seorang perempuan selama tiga tahun. Datuk saya meminangnya, tetapi ibu bapanya dapat tahu saya anak Altantuya dan terus memutuskan hubungan kami," katanya.

Dalam testimoninya Isnin lalu, bapa Altantuya, Shaariibuu Setev mendedahkan keluarganya hampir hancur selepas kematiannya.

Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Vazeer Alam Mydin Meera itu disambung esok.

Lihat Komen
ADS