Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bapa: Keluarga kami hampir hancur selepas kematian Altantuya

Shaariibuu Setev berkata beliau bertanggungjawab menanggung segala perbelanjaan keluarganya selepas kematian anaknya, Altantuya Shaariibuu.

Memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, beliau yang penuh emosi memberitahu keluarganya hampir hancur selepas kematian Altantuya pada 2006.

"Saya rasa kami semua mati bersamanya," katanya yang kemudian mengeluarkan sapu tangan untuk mengesat matanya.

Beliau memberi keterangan dalam saman sivil berjumlah RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya, setahun selepas kematiannya.

Shaariibuu antara lain berkata dua anak lelaki Altantuya - ketika berusia lapan dan tiga tahun - berada bawah jagaannya sebaik selepas kematian ibu mereka.

Menyifatkan Altantuya sebagai berpendidikan dan boleh diharap, Shaariibuu berkata anak perempuannya itu menyara seluruh keluarga, terutama untuk rawatan anak lelakinya yang mengalami kecacatan.

"Dengan usia saya dan isteri, dan juga kemampuan saya, saya tidak dapat buat sepertinya (dalam soal menyara keluarga)," kata bekas pensyarah universiti itu.

Anak bongsu Altantuya, Altanshagai Munkhtulga, mengalami cerebral palsy. Dia meninggal dunia pada 2017 ketika berusia 15 tahun.

Mengambil kira keadaan itu, Shaariibuu berkata keluarga tidak memaklumkan kematian Altantuya kepada anak bongsunya itu.

"Kami hanya beritahu ibunya pergi ke tempat yang jauh.

"Ketika hari jadinya, kami sediakan hadiah dan beritahunya ia daripada ibu," katanya sambil menambah keadaan kanak-kanak itu memburuk kerana mereka tidak mampu memberikan rawatan khas yang diperlukannya.

Berkenaan anak sulung Altantuya pula, Shaariibuu berkata dia dibuli selepas berita berkaitan kematian ibunya mendapat perhatian di tempat tinggal mereka.

"Baru-baru ini, plaintif ketiga (anak Altantuya) sepatutnya bertunang tetapi ditolak kerana keluarga pihak perempuan enggan anak mereka berkahwin dengan keluarga yang memiliki sejarah seumpama ini," katanya.

Shaariibuu berkata sebab pemfailan saman sivil itu adalah kerana perbicaraan jenayah terhadap pembunuhan Altantuya telah menjatuhkan hukuman, dan bukan keadilan.

"Jadi saya meminta jawapan daripada mahkamah yang mulia.

"Saya percaya defendan yang menyebabkan pembunuhan anak saya," katanya.

Shaariibuu, isterinya Altantsetseg Sanjaa dan dua cucu mereka menamakan bekas pegawai polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri, Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Perbicaraan bersambung esok.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS