Anwar cadang kaukus reformasi saring RUU sebelum dibentang
Presiden PKR Anwar Ibrahim mencadangkan agar semua rang undang-undang yang dibentangkan di parlimen oleh kerajaan perlu melalui saringan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus.
Anwar yang merupakan pengerusi kaukus berkenaan berkata, ia merupakan salah satu daripada enam cadangan yang dikemukakan dalam mesyuarat yang membincangkan hala tuju kaukus itu semalam.
"Semua rang undang-undang (RUU) yang dibentangkan ke parlimen oleh kerajaan perlu melalui saringan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat atau Kaukus ini," kata Anwar dalam kenyataan media hari ini.
Selain itu, kaukus berkenaan yang akan diwakili oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang turut dicadangkan untuk dijadikan sebagai Jawatankuasa Pilihan Bersama Bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Jelas Anwar, ia bagi memastikan kaukus itu dapat berfungsi dengan lebih berkesan.
Cadangan lain yang dikemukakan ialah agar Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara agar ahli parlimen dapat memberikan pandangan dan cadangan dalam mengatasi serta memperbaiki keadaan hak asasi manusia di Malaysia.
Selain itu, turut dicadangkan agar Ketua Hakim Negara mengetuai panel bebas mengenai reformasi institusi perundangan negara.
Cadangan lain ialah agar kaukus itu menyokong gesaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memastikan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023.
Kaukus itu juga menyarankan agar tumpuan mesyuarat berikutnya menjurus kepada penilaian keberkesanan tindakan kerajaan dalam mengangkat kedudukan rakyat miskin desa dan bandar.
Selain Anwar, anggota kaukus itu dari Pakatan Harapan (PH) ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul, Ahli Parlimen Segamat Dr Santhara Kumar Ramanaidu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman.
Wakil dari pembangkang pula ialah Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz, Ahli Parlimen Santubong Junaidi Tuanku Jaafar dan Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man.

