Perasaan sayu bercampur bangga jelas terpamer di wajah rakyat jelata yang mengiringi keberangkatan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar ke ibu negara hari ini.
Pasangan diraja itu berangkat meninggalkan Pahang untuk menggalas tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong susulan pemilihan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas), 24 Jan lepas.
Sultan Abdullah akan berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-252 (Khas) diikuti dengan Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan serta pengisytiharan memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara hari ini.
Seawal 5.30 pagi lagi, ribuan rakyat jelata terdiri daripada pelbagai kaum serta lapisan umur berdiri di luar Istana Abdulaziz, Bandar Indera Mahkota, di Kuantan dan Pekarangan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Kuantan untuk mengucap selamat tinggal kepada baginda dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Terdahulu, baginda berdua yang memakai persalinan sedondon berwarna biru firus berangkat dari Istana Abdulaziz pada jam 7.10 pagi dengan diiringi Tengku Mahkota Pahang yang juga Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.
Turut mengiring Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah selaku menteri pengiring.
Kenderaan yang membawa baginda berdua tiba di Pangkalan Udara Kuantan kira-kira setengah jam kemudian disambut dengan laungan Daulat Tuanku oleh rakyat jelata yang berdiri di kiri dan kanan jalan berkenaan sambil mengibar Jalur Gemilang dan bendera Pahang.
Istiadat Memuliakan Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong itu dimulakan dengan Hormat Diraja dan disusuli lagu Negaraku oleh Pasukan Pancaragam TUDM, Pangkalan Udara Kuala Lumpur.
Serentak dengan itu, sebanyak 21 das Tembakan Meriam Kehormatan dilepaskan.
Sultan Abdullah kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota TUDM yang diketuai Mejar Abdul Nasir Abdul Majid.
Sebaik selesai, Kawalan Kehormatan Utama kemudian mempersembahkan Hormat Diraja sekali lagi sebelum lagu Negaraku dimainkan.
Mufti Pahang Dr Abdul Rahman Osman kemudian membacakan doa selamat memohon keberkatan agar perjalananan baginda berdua dirahmati Allah.
Baginda berdua lalu bersalaman dengan dif-dif kehormat, pegawai tinggi kerajaan untuk mengucapkan selamat tinggal.
Pasangan diraja itu menaiki kenderaan khas sambil melambai mesra ke arah rakyat jelata yang mengambil kesempatan cuti umum pada hari ini untuk berkumpul merafak sembah hormat kepada baginda berdua yang berlepas menaiki pesawat khas ke ibu negara.
Melaungkan Allahu Akbar dan Daulat Tuanku serta sambil mengibarkan bendera Pahang dan Jalur Gemilang, ada kalangan rakyat pelbagai kaum serta lapisan umur mengambil kesempatan merakam detik keberangkatan Seri Paduka berdua menggunakan telefon bimbit masing-masing.
Terpancar keceriaan di wajah Seri Paduka berdua dan semasa menaiki pesawat, detik akhir sebelum melangkah masuk Sultan Abdullah sempat melayangkan isyarat ciuman kepada khalayak.
Pesawat khas yang membawa Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berlepas pada jam 8.34 pagi untuk penerbangan kira-kira 45 minit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
- Bernama
