Dalam melakukan perubahan bagi mendaulatkan undang-undang dan mencapai tadbir urus yang baik, keadilan sosial tidak wajar dipinggirkan.

Menurut pengasas badan pemikir Blindspot, Azlan Awang, tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang bukanlah perkara terpenting hingga mengatasi perkara-perkara lain.

“Contohnya, kita lihat Afrika Selatan semasa zaman aparteid dulu, ada tadbir urus yang baik dan pematuhan undang-undang oleh pentadbiran kulit putih, tetapi tiada keadilan sosial. Tiada langsung hak asasi manusia.

“Sama juga dengan Israel.

“‘Kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik bukanlah perkara paling penting berbading perkara lain, kita masih perlu melakukan banyak perubahan (lain) bagi mencapai pengagihan ekonomi yang saksama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum ‘Polisi Ekonomi Pakatan Harapan (PH), Bela Rakyat atau Korporat?’ yang berlangsung semalam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Forum itu turut disertai oleh pensyarah kanan di Institut Kajian Asia Tenggara (Iseas), Dr Lee Hwok Aun, dan mantan anggota parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj sebagai ahli panel, manakala aktivis hak asasi manusia, E Nalini, menjadi moderator.

Didakwa abai B40

Azlan berkata demikian sebagai mengulas teras kedua daripada lima teras utama yang terkandung dalam buku manifesto PH - reformasi politik dan institusi.

Saranan Azlan itu boleh dilihat sebagai teguran lembut terhadap kerajaan PH yang banyak menumpukan usaha terhadap teras kedua itu sepanjang lapan bulan pertama mengambil alih pemerintahan daripada BN.

Ungkapan kedaulatan undang-undang kerap kedengaran daripada mulut pemimpin PH apabila mengulas tentang pemimpin BN yang dihadapkan ke mahkamah untuk berdepan tuduhan salah laku dan rasuah.

Terbaru, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, semasa melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 kelmarin menegaskan antara lain bertujuan memisahkan pentadbiran kerajaan daripada pengaruh politik bagi mengelakkan salah guna kuasa daripada berlaku. 

Kerajaan PH bagaimanapun berdepan kritikan ramai apabila didakwa meminggirkan golongan berpendapatan rendah (B40) dalam dasar mereka.

Selepas pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 Nov tahun lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dibidas beberapa pemimpin pembangkang kerana didakwa melupakan golongan B40 dan petani.

Bagaimanapun, kerajaan dilihat mengambil peduli terhadap kritikan yang diterima dan melakukan beberapa pengubahsuaian.

Antaranya mengumumkan bantuan musim tengkujuh terhadap pekebun-pekebun kecil, petani, nelayan, penoreh getah serta peruntukan khas kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Produktif atau tidak

Malah, Dasar Perumahan Negara (DRN) yang dilancarkan Isnin lalu oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga turut memberi tumpuan khusus terhadap perumahan mampu milik terhadap golongan B40.

Mengulas hal berkaitan, Lee berkongsi pandangannya bahawa bantuan perlulah disalurkan berdasarkan keperluan sesuatu kumpulan, terutamanya dalam bidang pendidikan.

Dengan memberikan contoh kaum bumiputera bukan Melayu yang tertinggal jauh berbanding kaum lain dalam soal pendidikan tinggi, rancangan khusus terhadap kaum itu wajar dilakukan bagi membantu mereka memperoleh pendidikan yang sewajarnya.

Sementara itu, Jeyakumar dilihat lebih keras mengkritik kerajaan PH dalam ucapannya.

Beliau menyifatkan pemimpin PH mengalami masalah "kecacatan ideologi" sehingga tidak mampu memahami secara dasar tentang isu dihadapi negara.

Antara isu yang dibangkitkannya ialah ketidakmampuan pemimpin PH memahami masalah gaji buruh yang rendah di negara ini.

Katanya isu berkenaan bukanlah berlaku kerana buruh tidak cukup produktif, tetapi kesan manipulasi sistem ekonomi global oleh syarikat multinasional (MNC).

“Bukan soal produktif atau tidak. Soalnya buruh kita dibayar terlalu murah, sedangkan produknya sama, prosesnya sama (dengan kilang di negara asal syarikat MNC),” katanya kepada pemberita selepas forum berlangsung.

Jelasnya, syarikat MNC melakukan amalan ‘pecah dan perintah’ bagi memastikan mereka dapat memastikan rantaian bekalan mereka kekal murah.

“Jika Malaysia meminta (bayaran) lebih, mereka (MNC) akan membuat pesanan lebih kepada kilang di Thailand atau Vietnam. [...] Kita dibuli,” katanya lagi.

Antara isu lain yang dibangkitkan oleh ahli panel ialah penetapan gaji minimum, potensi peranan syarikat milik kerajaan (GLC) dalam membantu golongan B40 dan masalah pekerja asing.