Paling Popular
Terkini
story images
story images

Pernah ditangkap sebelum ini namun ia ternyata tidak membuat seorang lelaki berusia 72 tahun jera dengan aktivitinya sebagai penyeludup bunga api dan mercun.

Dipercayai membawa bahan tersebut dari negara jiran suspek ditahan dalam serbuan polis di sebuah rumah di Kampung Kedai Lama, Rantau Panjang pada Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Supt Ismail Jusoh, berkata ketika serbuan lelaki warga emas itu sedang leka mengisi bahan larangan itu ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser di hadapan rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui 44 kotak dan lima guni mengandungi mercun pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM30,000.

"Kesemua bahan letupan terbabit dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk dijual dalam pasaran tempatan sempena Tahun Baru Cina," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, hari ini.

Ismail berkata, serbuan kira-kira jam 7.15 malam itu dilakukan 15 anggota Unit Risikan Sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan hasil maklumat orang awam.

"Hasil semakan polis mendapati suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes sama.

"Suspek direman selama empat hari dari tarikh ditangkap sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu perbicaraan lanjut," jelasnya.

Tambah Ismail, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang menyediakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

"Kes ini membabitkan rampasan mercun ini kali pertama dilakukan tahun ini," kata Ismail.

Lihat Komen
ADS