Najib: Ketua Umno Kubang Krian digantung jawatan
Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian, Fauzi Ismail yang didakwa menggelapkan wang digantung jawatan serta merta sehingga kes itu selesai, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian, Fauzi Ismail yang didakwa menggelapkan wang digantung jawatan serta merta sehingga kes itu selesai, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Berikutan itu, katanya, timbalannya, Ghani Mamat akan menjalankan tugas sebagai ketua bahagian.
"Jika mahkamah mendapati Fauzi tidak bersalah, beliau akan mendapat semula jawatannya. Jika sebaliknya beliau terpaksa melepaskan jawatan tersebut," katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur hari ini.
Fauzi didakwa di mahkamah Kota Bharu baru-baru ini atas dakwaan menggelapkan sejumlah wang.
Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan tersebut selaras dengan Perlembagaan Umno yang menyebut jika ketua bahagian digantung maka tugas itu akan dijalankan oleh timbalannya sehingga pemilihan akan datang.
Isu artikel 121 (1A)
Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat mingguan kabinet pagi tadi tidak membincangkan isu sembilan menteri kabinet bukan Islam yang menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lalu.
Katanya, ini kerana kabinet telah menganggap isu tersebut telah selesai.
Menurutnya, pada masa ini kabinet sedang menunggu laporan dari Pejabat Peguam Negara mengenai lemungkinan beberapa pindaan boleh dibuat terhadap Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
"Kerajaan akan mengadakan penerangan di seluruh negara mengenai perkara itu sebaik menerima laporan dari Pejabat Peguam Negara," katanya lagi.
Mengenai pelarian Islam Selatan Thailand, Najib berkata, kerajaan tidak memaksa mereka pulang ke tanah air mereka.
Katanya, kerajaan telah menyuruh mereka pulang tetapi mereka enggan berbuat demikian.
Beliau berkata, mereka boleh tinggal di Malaysia selagi mereka tidak mengancam keselamatan negara.
"Pasukan keselamatan membuat pemantauan yang teliti terhadap pelarian tersebut supaya tidak menimbulkan masalah kepada keselamatan negara," katanya.

