Ambiga: PH perlu belajar dari Najib buat kerja di akar umbi
Peguam Ambiga Sreenevasan berkata wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) perlu belajar daripada bekas perdana menteri Najib Razak dari segi turun padang.
Ambiga berkata demikian sebagai merujuk pendekatan Najib kebelakangan ini yang turun berjumpa pemimpin akar umbi, pemimpin masyarakat tempatan dan orang awam, terutamanya pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.
"Ia satu kemahiran yang baik, pendekatan dia (Najib) ... Dia tidak duduk diam... Dia tidak bersembunyi di satu sudut.
"Ini salah satu kerja yang anda perlu buat di peringkat akar umbi untuk bergerak ke hadapan sebagai sebuah gabungan. Mereka (PH) boleh belajar sesuatu dari perkara ini," katanya seperti dilapor Malay Mail.
Pada PRK Cameron Highlands, Najib giat turun padang berkempen dan menjelajah beberapa kawasan termasuk kampung Orang Asli.
Selain pada kempen PRK itu, Najib dilihat mengadakan beberapa perjumpaan dengan orang ramai, termasuk baru-baru ini di Shah Alam, Selangor pada program yang digelar 'Malu Apa Bossku'.

Gambarnya menaiki motosikal Yamaha Y15 dengan nombor pendaftaran 8805KU tular di media sosial yang seterusnya mencetuskan sensasi dengan hashtag #maluapabossku.
Najib sendiri mula menggunakan hashtag itu dalam kiriman di media sosialnya. Beberapa barangan cenderahati seperti baju T dengan tema itu turut dijual di pasaran.
Malah Najib kini mendapat gelaran Raja Troll.
'Tiada penafian oleh PH'
Tambah Ambiga, ketika BN dan Umno ketika ini masih kelam kabut, PH perlu menukar naratif untuk meneraju negara.
"Jika PH bertindak sebagai kerajaan untuk semua, mereka boleh mengubah naratif itu... Apa yang kita baca sekarang adalah pihak tertentu secara bebas menggunakan bahawa ekstremis dan tiada kecaman daripada PH.
"Tiada sesiapa yang tampil kata, itu bukan hala kita mahu bawa negara. Dulu PH ketika menjadi pembangkang kritikal menafikan perkara ini," katanya.
Ambiga turut berkata bahawa PH perlu memulakan dasar berasaskan keperluan secepat mungkin bagi menangani kebimbangan rakyat.
"Jika mereka buat itu, mereka akan lebih kuat. Saya rasa mereka ada mengambil langkah ke arah itu tapi atas sebab tertentu, ia masih tidak berhasil," katanya.
Meskipun meminta PH belajar daripada Najib, Ambiga menyatakan kebimbangan sambutan terhadap bekas perdana menteri itu yang kini berdepan 42 dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Dengan dakwaan seperti itu, kata Ambiga, usaha Najib untuk mendapatkan sambutan bagi kekal relevan dalam politik tidak akan berhasil jika di negara lain.
"Sudah tentu, dia (Najib) ada hak untuk buat apa dia mahu, tapi hakikat bahawa dia dapat sambutan sangat membimbangkan.
"Kerana saya tidak pasti jika di negara lain dia boleh dapat sambutan dengan pelbagai pertuduhan serius seperti itu," katanya.

