Peguam Muhammad Shafee diarah jelas surat dianggap hina mahkamah
Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan peguam Muhammad Shafee Abdullah menyediakan penghujahan pada 23 Februari ini kenapa tuduhan menghina mahkamah tidak patut dikenakan terhadapnya ekoran surat aduan beliau mengenai apa yang didakwanya sebagai perbuatan salah laku oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram dalam kes Metramac Corporation Sdn Bhd.
Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan peguam Muhammad Shafee Abdullah menyediakan penghujahan pada 23 Februari ini kenapa tuduhan menghina mahkamah tidak patut dikenakan terhadapnya ekoran surat aduan beliau mengenai apa yang didakwanya sebagai perbuatan salah laku oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram dalam kes Metramac Corporation Sdn Bhd.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri Sri Ram, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Hashim Yusoff, juga mahu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail hadir pada hari yang sama untuk membantu mahkamah.
"Pada peringkat ini, kami berpendapat surat bertarikh 24 Januari 2006 itu mempunyai prima facie bagi kes menghina mahkamah ini tetapi buat masa ini kami tidak akan mengambil sebarang tindakan sehingga kami mendengar hujah yang menyeluruh dan matang.
"Oleh kerana perkara ini mempunyai kepentingan umum dan oleh sebab ia melibatkan maruah mahkamah, kami mengarahkan Peguam Negara selaku Pendakwaraya hadir pada jam 10 pagi 23 Februari ni untuk membantu kami. Kami juga menasihatkan Datuk Shafee melantik peguam mewakilinya," kata Sri Ram.
Sebelum itu, Hakim Zulkefli bertanya kepada Muhammad Shafee sama ada wajarkah beliau menghantar surat itu kepada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abdul Malek Ahmad dan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
"Ya, memang perlu, supaya apa yang berlaku semasa kes itu akan direkodkan," kata Muhammad Shafee.
Kepada satu lagi soalan oleh Zulkefli sama ada beliau menulis surat itu kerana tahu bahawa nama beberapa tokoh disebut oleh Sri Ram, beliau berkata: "Saya hanya bertindak mewakili anak guam saya, (dan) anak guam saya bukan Daim atau Halim."
'Tutup mulut'
Pada 12 Januari lalu, Mahkamah Rayuan mengarahkan syarikat pemegang konsesi tol, Metramac Corporation, yang diwakili Muhammad Shafee, membayar RM65 juta kepada Fawziah Holdings Sdn Bhd sebagai ganti rugi bagi kehilangan hak pengiklanan tetapi apa yang mendapat perhatian meluas ialah hujah Sri Ram bahawa ahli korporat terkemuka Tan Sri Halim Saad dan ahli
perniagaan Datuk Anuar Othman menerima sebahagian wang daripada projek itu selain menikmati sokongan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.
Menurut laporan Bernama, hari ini, Sri Ram berkata bahawa jika seseorang peguam itu tidak berpuas hati dengan apa-apa komen mengenai sebarang perbicaraan, tugasnya adalah untuk membangkitkannya tetapi bukan dengan cara sehingga boleh menutup mulut hakim.
"Kami tidak boleh berdiam diri kerana jika kami berbuat demikian, orang lain akan bertindak lebih buruk lagi dengan menulis surat aduan terhadap mana-mana saja hakim dalam apa jua kes. Akibatnya, orang tidak lagi akan menghormati mahkamah," katanya.
Sri Ram berkata panel Hakim Mahkamah Rayuan hari ini berpendapat tindakan Muhammad Shafee itu sebagai satu penghinaan mahkamah.
"Mungkin kami betul dan mungkin kami silap tetapi kami ingin mendengar pendapat Peguam Negara nanti," katanya.
Mahkamah itu juga menetapkan 23 Februari ini untuk mendengar permohonan Metramac bagi menangguhkan perintah mahkamah supaya syarikat itu membayar RM65 juta kepada Fawziah Holdings Sdn Bhd sebagai ganti rugi kerana kehilangan hak pengiklanan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.