Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak boleh mendedahkan maklumat berkenaan rundingan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sehinggalah ia selesai.

Beliau juga berkata tidak tahu bila proses rundingan itu akan selesai.

"Status (ECRL) adalah ia kini dalam rundingan, dan saya tidak boleh kata apa yang berlaku kerana saya perlu tunggu keputusannya.

"Tak tahulah (bila selesai), tetapi secepat mungkin," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media bahawa China sanggup mengurangkan kos projek ECRL kepada hampir separuh, daripada kira-kira RM81 bilion.

Ketika ditanya sama ada Malaysia akan menerima tawaran itu diandaikan ia berlaku, Mahathir menjawab: "Secara andaian (hypothetically), saya tidak terima (soalan anda)."

Terdahulu, kabinet memutuskan semua menteri tidak dibenarkan membuat sebarang pengumuman berhubung perkara itu, kecuali Mahathir sendiri.

Ia susulan kenyataan bertentangan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Pada 26 Januari, Azmin berkata kabinet memutuskan untuk membatalkan projek itu ekoran faedah tahunan yang tinggi yang perlu dibayar kerajaan, iaitu kira-kira RM500 juta.

Bagaimanapun, Lim pada hari sama berkata "terkejut" dengan kenyataan itu dan Azmin "mungkin tidak dimaklum" tentang perkara tertentu yang diputuskan Mahathir berhubung projek itu.

Lim kemudian menjelaskan beliau terkejut dengan masa kenyataan Azmin, bukan kandungannya. 

Lihat Komen
ADS