Paling Popular
Terkini

PRK Semenyih | Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul dipercayai bakal calon PSM di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac.

Menurut sumber PSM, jawatankuasa pusat PSM mengambil keputusan untuk meletakkan Nik Aziz sebagai mengantikan AJK Pusat parti itu, S Arutchelvan yang bertanding di kerusi DUN tersebut sejak 2004.

"Yang pertama, PSM tetap akan bertanding di Semenyih. Ia adalah kerusi yang kami tandingi dari tahun 2004. Jadi, kali ini pun kami tetap akan bertanding," kata sumber kepada Malaysiakini.

Jelas sumber, pucuk pimpinan PSM mengambil keputusan itu dengan mempertimbangkan Nik Aziz yang merupakan anak tempatan Semenyih.

"Beliau merupakan anak jati dari Semenyih yang memahami isu-isu domestik Semenyih. Malah, beliau sering turun bersama Arul (Arutchelvan) mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi pengundi Semenyih," katanya.

Sumber turut menafikan pemilihan Nik Aziz sebagai calon kerana sentimen pengundi Melayu.

"Tidak, beliau dipilih berdasarkan kelayakan beliau berkhidmat kepada rakyat Semenyih. Malah, beliau sebenarnya dipilih sebagai calon PSM pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) yang lalu. Namun, digugurkan atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan," jelasnya lagi.

Bagaimanapun, ketika dihubungi bagi mengulas perkara itu, Arutchelvan menyifatkan ia sebagai spekulasi.

"Itu spekulasi. Ada tiga nama yang sedang dipertimbangkan selain seorang yang merupakan aktivis wanita.

"Jawatankuasa pusat akan bermesyuarat esok untuk memutuskan sama ada PSM akan bertanding dalam PRK ini," katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, PSM pada 29 Januari menyatakan akan membuat keputusan muktamad sama ada akan bertanding di kerusi DUN Semenyih di Selangor dalammesyuarat hujung minggu ini.

Bercakap kepada Malaysiakini sebelum ini, Arutchelvan mengesahkan PSM akan meletakkan calon.

"Kami akan adakan satu mesyuarat terakhir untuk mencapai keputusan. Kami juga mahu lihat trend pengundi pada pilihan raya kecil Cameron Highlands (Sabtu lalu)," katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, Arutchelvan memperoleh 1,293 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Kerusi Semenyih kosong selepas penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, yang mewakili Bersatu meninggal dunia, tiga minggu lalu.

Lihat Komen
ADS