Ahli Jawatankuasa Pusat DAP P Ramasamy mempersoalkan sama ada pemimpin MIC "berhalunisasi" ketika membayangkan kerusi Cameron Highlands hanya dipinjamkan kepada Umno pada pilihan raya kecil (PRK) lalu.

Ramasamy berkata demikian selepas Presiden MIC S Vigneswaran sebelum ini berkata partinya tetap mahu bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pilihan raya umum akan datang.

"Adakah ini perkara paling kelakar tahun ini, apabila MIC berkata mereka hanya meminjamkan parlimen Cameron Highlands kepada Umno, atau adakah presidennya, Vigneswaran cuba buat kelakar atau cuba mendapatkan semula maruah partinya?" kata Ramasamy dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Vigneswaran berkata terdapat persefahaman bahawa BN dan MIC hanya meminjamkan kerusi itu pada PRK bulan lalu.

PRK 26 Jan itu dimenangi oleh calon BN Ramli Mohd Nor. Untuk rekod, Ramli merupakan calon langsung BN dan ketika bertanding PRK itu bukan anggota Umno.

Ramasamy juga mempersoalkan kenapa Vigneswaran tidak membuat tuntutan sama terhadap kerusi Port Dickson yang dianggap kerusi tradisi MIC namun tidak ditandingi mereka pada PRK Oktober lalu.

PAS yang merupakan sekutu BN, sebaliknya meletakkan calon mereka pada PRK Port Dickson, yang berakhir dengan kemenangan kepada calon Pakatan Harapan (PH).

"MIC tidak meminjamkan kerusi Cameron Highlands, kerusi itu sudah hilang selama-lamanya, begitu juga dengan kerusi Port Dickson.

"MIC sebenarnya tidak pernah menghormati Umno, jadi isu mereka meminjamkan kerusi itu tidak pernah timbul," kata Ramasamy.

Ramasamy, yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang berkata, MIC malah mungkin tidak akan diperuntukkan kerusi oleh Umno pada pilihan raya umum akan datang.

[Baca berita asal]