Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA: Ramai yang layak, 'Superman' juga dipilih?
Diterbitkan:  Feb 3, 2019 9:41 AM
Dikemaskini: 1:51 AM

MCA menggesa Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC) menjelaskan pelantikan bekas anggota DAP Hew Kuan Yau - lebih dikenali sebagai "Superman" - sebagai ketua pegawai eksekutif badan itu.

Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng berkata hubungan Malaysia dengan China kian merosot sejak Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, justeru pelantikan individu yang tidak sesuai bagi jawatan berkaitan hubungan antara dua negara itu memberi risiko yang besar.

"MCA menggesa Pengerusi MCBC Tan Kok Wai menjelaskan tiga soalan berkenaan sebab pelantikan Hew. Jika tidak, ia akan dilihat sebagai contoh terbaru lantikan politik oleh PH," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelantikan Hew diumum Tan Kok Wai - yang juga pengerusi DAP dan duta khas ke China - Selasa lalu dan berkuat kuasa 1 Februari.

MCBC ditubuhkan pada 2002 dan berperanan menyediakan khidmat nasihat dan maklumat perniagaan untuk usahawan Malaysia di China, dan usahawan China di sini.

Tan berkata soalan pertama adalah mengapa individu yang berlatar belakang DAP dipilih sedangkan masih ramai warga yang memegang jawatan pengurusan tinggi dalam perusahaan swasta di China yang lebih layak.

Tan Teik Cheng

"Kedua, menurut laman Facebook Hew, beliau memegang jawatan pengurusan di syarikat swasta China sejak 2006 hingga 2010, selama lima tahun. Tetapi Tan mendakwa Hew berpengalaman 10 tahun di China. Adakah Hew mempunyai pengalaman lima tahun atau sepuluh tahun?

"Ketiga, walau dengan pengalaman sepuluh tahun, ia diperolehi sebelum 2010. Selepas itu, Hew sudah tidak terlibat selama lebih lapan tahun. Bolehkah beliau menjalankan tugas seperti didakwa Tan?" soalnya.

Tan menyifatkan perkara ini sangat penting kerana hubungan perdagangan antara Malaysia dan China memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negara.

Hew mengundang beberapa kontroversi ketika menganggotai DAP, antaranya apabila mengatakan Laut China Selatan sebagai milik China pada Julai 2016. Beliau akhirnya mengumumkan keluar DAP ekoran dikritik pelbagai pihak.

Berhubung pelantikannya sebagai CEO MCBC, beliau berkata sudah menjangka ia akan menerima kritikan tetapi menyatakan komitmen untuk menggerakkan dasar menang-menang yang memasitkan Malaysia mendapat faedah daripada hubungan dengan kuasa ekonomi dunia itu, tanpa menggadaikan hak dan kedaulatan negara.

Lihat Komen
ADS