Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dusuki: Semoga apa dilakukan 'pemfitnah' dijawab di padang Mahsyar
Diterbitkan:  Feb 3, 2019 2:39 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Bagi ulama PAS Ahmad Dusuki Abd Rani, mereka yang membuat tuduhan terhadap parti itu tidak akan terlepas walaupun parti itu mengambil keputusan menyelesaikan kes saman terhadap Sarawak Report di luar mahkamah.

Menyifatkan tindakan itu sebagai sesuai pada masa ini, timbalan ketua Dewan Ulama PAS Selangor itu berkata pihak yang "memfitnah" PAS akan menerima pengadilan di padang Mahsyar nanti.

"Semoga apa yang dilakukan pemfitnah itu dijawab di depan mahkamah Allah di padang Mahsyar nanti.

"Apakah terlepas pemfitnah itu (dengan langkah PAS semalam)? Tentu tidak. Bahkan pemfitnah itu pasti berdepan kesukaran saat sakaratul (maut) dan (di alam) barzakh nanti," katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Beliau turut melampirkan kenyataan media Setiausaha Politik kepada presiden PAS, Syahir Sulaiman, yang memaklumkan tentang penyelesaian di luar mahkamah kes itu.

Antara penyelesaian yang dipersetujui kedua-dua pihak adalah Presiden PAS Abdul Hadi Awang menarik balik tuntutan terhadap Sarawak Report, manakala Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown menarik balik tuntutan balas terhadap Hadi.

Selain itu, tiada perintah berkenaan kos dan kedua-dua pihak tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma-terma berkaitan penyelesaian ini, kata Syahir.

Dalam pada itu, Dusuki yang merupakan penceramah terkenal berpesan agar "pemfitnah" itu tidak dicontohi orang lain.

"Jauhkan daripada azab api neraka disebabkan termakan fitnah sebegini," katanya lagi.

Sebelum ini PAS melalui Hadi mengambil tindakan undang-undang terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di London pada 21 Apr 2017.

Ia berkaitan laporan portal itu pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa pemimpin PAS menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong BN dan Umno.

Dengan penyelesaian semalam, Clare Rewcastle Brown berkata artikel yang disiarkan laman Sarawak Report yang menjadi pertikaian itu kekal dan tidak ditarik balik.

 

Lihat Komen
ADS