Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis rampas 1.6 tan ketum, ubat batuk nilai RM70k
Diterbitkan:  Feb 3, 2019 4:26 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Polis berjaya merampas sejumlah 1.6 tan daun ketum dan ubat batuk bernilai RM70,100 dalam Op Selamat di Pasir Mas pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Abdullah Mohammad Piah berkata, rampasan dilakukan hasil sekatan jalan raya yang diadakan pada pukul 11.30 pagi, 31 Januari lalu di hadapan sebuah pasar raya di Pasir Mas.

Beliau berkata kesemua daun ketum bersama sejumlah ubat batuk yang dirampas dimuatkan ke dalam sebuah lori ais yang bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

"Hasil siasatan awal yang dilakukan pemandu lori berumur 32 tahun mengaku mendapat upah sebanyak RM500 bagi membawa daun ketum dan ubat batuk dari sebuah negeri di utara Semenanjung.

"Suspek berkenaan juga didapati positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai rekod kesalahan lampau termasuk berkaitan dadah," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di Kota Bharu, hari ini.

Abdullah berkata, kesemua daun ketum dan ubat batuk berkenaan dipercayai akan dibawa ke Terengganu untuk pasaran di sana dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sek 30(3) Akta Racun 1952.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di Kampung Pulai Chicha Tinggi, Pasir Mas, semalam polis berjaya menahan dua lelaki berusia 31 dan 62 tahun serta merampas sejumlah dadah dipercayai syabu bernilai RM2,500 dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS