Paling Popular
Terkini

Walaupun kes saman Presiden PAS, Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown diselesaikan di luar mahkamah, parti itu tidak menolak kemungkinan memerlukan bantuan ahli dan penyokong bagi menampung kos guaman yang tertunggak.

Bendahari PAS Pusat, Razman Zakaria berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat maklumat mengenai jumlah akhir kos yang diperlukan tetapi menjangkakan dana parti tidak mencukupi.

"Kita ada kos setiap bulan sepanjang kes berjalan, pengurusan kes juga kita perlukan kos. Ya kalau ikutkan macam itulah (minta derma).

"Sebab itu yang kita katakan bahawa dana PAS ini ada di tangan ahli bagi mereka sedar. Jadi bila tiba masanya dan ada keperluan kita akan sentiasa minta daripada ahli," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS masih perlukan dana untuk menampung perbelanjaan kos guaman kes tersebut.

Penyelesaian luar mahkamah berkenaan adalah berhubung kes saman fitnah yang difailkan Abdul Hadi pada 2017 susulan laporan yang disiarkan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016.

Kenyataan media Setiausaha Politik presiden PAS semalam memaklumkan penyelesaian luar mahkamah itu termasuklah penarikan balik tuntutan Abdul Hadi terhadap Clare. Begitu juga tuntuan balas Clare terhadap Abdul Hadi. 

Dengan penyelesaian itu, Clare berkata artikel yang disiarkan laman Sarawak Report yang menjadi pertikaian itu kekal dan tidak ditarik balik.

'Tidak mahu bebankan ahli'

Sementara itu, Razman menambah, pihaknya masih menunggu maklumat berhubung jumlah baki bayaran yang diperlukan bagi kos guaman kes itu.

"Kos guaman sekarang dalam (kiraan), saya ingat hari itu ada lagi tunggakan, final belum (tahu) lagi. Kosnya kita belum tahu lagi.

"Kita pun belum ada mesyuarat lagi, kita tengok sejauh mana keputusan penyelesaian di luar mahkamah ini jika melibatkan apa-apa kos. Jadi belum lagi tak dapatlah nak bagi jumlah akhirnya," katanya.

Mengulas mengenai keputusan penyelesaian di luar mahkamah itu, Razman berkata tindakan berkenaan diambil untuk tidak membebankan ahli kerana ia memerlukan kos yang tinggi.

"Jadi mengambil kira pelbagai aspek, fitnah yang dibuat pun untuk tujuan pilihan raya dan mereka dah berjaya.

"Jadi kita nak meneruskan ini pun memerlukan kos yang begitu banyak dan membebankan ahli-ahli. Walaupun ada persepsi negatif kepada kita tetapi ini tindakan yang lebih baik untuk parti," jelasnya.

Pada 3 Januari lalu, PAS merayu pertolongan umum untuk bantuan dana berjumlah RM400,000 bagi menyelesaikan kos guaman saman fitnah berkenaan.

Tak sampai seminggu, pada 9 jan lalu, Razman memaklumkan bahawa PAS bukan saja berjaya mengumpul jumlah itu, malah mencecah RM0.5 juta.

Lihat Komen
ADS