Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas wartawan yang berpengkalan di Sarawak, Joseph Tawie yang mendakwa diganggu anggota polis yang merekodkan keterangannya semalam. Joseph percaya ia berkaitan dengan hantaran Facebook yang kritikal terhadap Adun Gedong, Mohd Naroden Majais.

Pada suatu hantaran Facebook, wartawan yang bersara dan kini menjadi petani itu mendakwa pada tengah hari semalam, empat anggota polis di dalam dua buah kereta telah mencarinya di kebun kelapa pandan yang diusakannya di Simunjan.

"Saya bertanya apa jenayah yang telah lakukan.

"Mereka beritahu saya ia ada kaitan dengan hantaran FB saya mengenai Naroden," kata Joseph.

Pada hantaran Facebook yang bertarikh Isnin minggu lalu, Joseph mendakwa Noroden menyalahgunakan kuasanya untuk mengundang beberapa tuai rumah (ketua rumah panjang) untuk acara gotong-royong di salah satu kebun milik Adun itu dan dengan berbuat demikian ia seolah-olah tidak menghormati orang-orang tua pemimpin Iban berkenaan.

"Maklumat ini diberikan kepada saya oleh dua tuai rumah yang enggan hadir kegiatan itu.

"Pihak polis bertanyakan saya kenapa saya menulis cerita itu. Saya katakan kepada mereka saya suka untuk mendedahkan sebarang salah laku wakil rakyat atau penjawat awam, jika saya dapati cerita itu adalah benar," kata Joseph di Facebook semalam.

Dakwa dilayan seperti penjenayah

Menurut Joseph polis menggesanya untuk bekerjasama dengan permintaan mereka untuk merekod keterangannya.

"Polis nasihatkan saya untuk tidak menggunakan media sosial atau FB untuk membuat aduan, jika tidak saya akan menghadapi masalah.

"Saya katakan kepada anggota polis tersebut, saya tidak takut untuk diganggu atau diugut atau diminta supaya berdiam diri," jelasnya lagi.

Beliau mendakwa dilayan seperti "penjenayah serius" apabila diekori kereta polis sepanjang dua jam memandu ke balai polis Simpang Tiga di Kuching.

Pemangku ketua polis Kuching, Ismail Mahmood mengesahkan Joseph telah direkodkan keterangannya di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia dan beliau telah dibebaskan sekitar jam 5 petang semalam.

"Kerana memang wajar begitu," kata Ismail kepada Malaysiakini malam tadi ketika ditanya dakwaan polis yang menggesa keterangan Joseph direkodkan di balai polis di Kuching.

Ketika dihubungi hari ini, pembantu Naroden mengesahkan ahli politik Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu sendiri yang membuat laporan polis terhadap Joseph beberapa hari lalu.

"Ya, terdapat laporan dibuat. YB (Naroden) sendiri yang buat laporan itu beberapa hari dulu.

"Tetapi saya tidak pasti butiran terperinci laporan polis itu kerana saya tidak bersamanya," jelas Adli Kiprawi, pegawai khas kepada Naroden.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS