Kumpulan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang diketuai oleh Presiden Reezal Merican Naina Merican, telah menghantar laporan mengenai persidangan mereka kepada Pendaftar Pertubuhan, Isnin lalu.

Timbalan Presidennya, Syed Anuar Mohamad berkata, laporan itu dihantar dengan tangan oleh Naib Presiden, Jais Abdul Karim dan Setiausaha Agung Nardin Awang di Pejabat Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya.

Katanya, antara lain kandungan laporan itu ialah mengenai sebab-sebab mengapa kumpulannya mengadakan persidangan agung berkenaan.

"Selain itu ia juga menyatakan siapa yang hadir, jumlah kehadiran dan usul-usul yang dibincangkan," katanya ketika dihubungi di pejabatnya di Kuala Terengganu hari ini.

Kumpulan Reezal mengadakan persidangan agung tahunan pada 25 Disember lalu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM, Bangi manakala pada masa sama kumpulan Suhaimi bersidang di Hotel Equatorial, Bangi.

Syed Anuar berkata, kini terpulang kepada Pendaftar Pertubuhan untuk mengiktiraf kumpulan GPMS mana yang sah di sisi undang-undang.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan kenyataan Suhaimi untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pendaftar Pertubuhan jika tidak mengiktirafnya sebagai presiden, adalah berunsur ugutan.

Tidak hadir

"Bagaimana Pendaftar Pertubuhan mahu menyelesaikan kes ini jika awal-awal lagi Suhaimi sudah membuat ugutan," katanya.

Syed Anuar juga menjelaskan, usaha yang dilakukan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk menyelesaikan kemelut itu gagal kerana Suhaimi dan Setiausaha kumpulannya, Sobri Ahmad tidak memberikan kerjasama.

Beliau berkata, Presiden MBM yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo mahu mengadakan pertemuan dengan kedua-dua kumpulan untuk menyelesaikan kemelut itu tetapi Suhaimi dan Sobri tidak datang.

Katanya, tempat program itu sepatutnya diadakan di Hotel Equatorial Bangi sehari sebelum kumpulan Suhaimi mengadakan persidangan khas GPMS.

"Dua kali Suhaimi dan Sori tidak datang meskipun mereka berjanji untuk hadir. Panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) juga tidak dijawab," katanya lagi.

Bagaimanapun, Sobri tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung dakwaan yang dibuat oleh Syed Anuar. Difahamkan beliau berada di luar negara.