Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sepanduk, risalah pertikai pemilihan calon Bersatu di Semenyih beredar

PRK SEMENYIH | Menjelang pilihan raya kecil (PRK) Semenyih 2 Mac ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat berselisih pandangan berhubung calon yang akan dipertandingkan.

Perselisihan itu membawa kepada tindakan menaikkan beberapa sepanduk di pinggir jalan di Semenyih selain pengedaran risalah untuk menyatakan rasa tidak senang dengan beberapa individu yang dipercayai akan dicalonkan menjadi calon bagi PRK berkenaan.

Salah satu sepanduk memaparkan gambar individu yang didakwa berkemungkinan menjadi calon, dengan gambar itu dipangkah dan disertakan ayat "kami tak sokong calon ini".

Sepanduk lain yang turut memaparkan individu sama disertakan dengan ayat "N24 tolak calon luar".

Sepanduk itu dilihat dipasang berhampiran sebuah simpang jalan di Semenyih.

Malaysiakini juga melihat risalah yang memaparkan beberapa gambar individu yang didakwa berkemungkinan dicalonkan, yang turut berpangkah.

Setiap satu gambar itu disertakan tajuk seperti "kaki sapu projek", "Zero Politik/Chipsmore", "pernah kena reject ", "ahli majlis korup", dan Legasi Ayahanda Batas.

Difahamkan, risalah berkenaan turut ditampal pada dinding di kawasan awam.

Sumber dalam Bersatu percaya bahawa akar umbi parti di Hulu Langat terpecah kepada beberapa kem dan menyebabkan pergeseran berhubung calon yang akan dipertandingkan dalam PRK Semenyih.

"Dari satu sisi, Bersatu di sini seperti PKR yang mempunyai beberapa kem. Pada masa yang sama, terdapat pihak yang menyokong individu luar untuk bertanding, namun ahli tempatan menyokong individu dari Semenyih atau Hulu Langat," kata sumber.

Semenyih merupakan dewan undangan negeri (DUN) yang terletak di bawah parlimen Hulu Langat.

Sumber berkata, sepanduk dan risalah berkenaan kemungkinan dipasang dan diedarkan oleh kem di Hulu Langat yang tidak berpuas hati apabila nama pemimpin mereka tidak dicadangkan kepada kepimpinan untuk dicalonkan.

"Tindakan menunjukkan rasa tidak puas hati secara umum seperti itu tidak baik untuk imej parti kerana ia menunjukkan perpecahan. Kita juga bimbang kem tertentu tidak akan memberi sokongan penuh kepada calon yang akan bertanding pada PRK nanti," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi pemangku Ketua Bersatu Hulu Langat, Rais Zulkifli untuk mendapatkan respons.

Kerusi Semenyih kosong selepas penyandangnya Mohd Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia bulan lalu.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini memaklumkan bahawa parti mereka akan meletakkan calon muda yang berpendidikan tinggi dan diterima oleh orang ramai bagi PRK itu.

Penamaan calon akan diadakan pada 16 Feb.

Media sebelum ini melaporkan lapan nama sudah dicadangkan termasuk dua daripada Wanita Bersatu, seperti yang diumumkan Ketua Wanita Bersatu, Rina Harun semalam.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS