Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC) Tan Kok Wai menafikan dakwaan bahawa pemilihan bekas anggota DAP Hew Kuan Yau sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) majlis itu adalah lantikan politik.

Menjawab kritikan Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng, Kok Wai berkata Hew - juga dikenali sebagai 'Superman' - bukan lagi anggota mana-mana parti politik.

Beliau juga membidas Tan yang mempersoal kemampuan Hew, dengan berkata Tan dan bekas presiden MCA Liow Tiong Lai juga tiada pengalaman ketika masing-masing dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan menteri pengangkutan.

"Hew seorang yang sangat berkebolehan dan memiliki kelayakan akademik daripada Chinese University of Hong Kong, salah satu daripada sepuluh universiti terbaik Asia.

"Hew berpengetahuan dalam ekonomi dan perdagangan China dan telah terbukti dalam menangani soal korporat.

"Beliau sudah keluar (DAP). Bolehkah anda kata Dr Mahathir Mohamad ahli Umno selepas dia keluar parti itu?" soalnya ketika dihubungi hari ini.

Kok Wai yang juga duta khas ke China mengulas kenyataan Tan yang mengkritik pelantikan Hew yang berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Tan mempersoal mengapa seorang yang mempunyai latar belakang DAP dipilih dan sudah lama keluar dari bidang swasta, sedangkan masih ramai yang lebih layak menggalas tugas itu.

Kok Wai menyifatkan kritikan Tan bersifat politik.

"Mahathir bersara pada 2003, jadi anda kata beliau sudah tidak tahu tentang politik Malaysia?

Jika dia (Tan) kata (Hew kurang pengalaman), bagaimana Liow Tiong Lai boleh jadi menteri pengangkutan ketika memimpin MCA? Beliau seorang pakar pemakanan.

"Tan pula dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (ketika zaman BN). Adakah dia ada pengalaman menguruskan pelabuhan?" soalnya lagi.