BERITA Malaysiakini

Laporan: SPRM belum terima aduan rasmi isu RM90 juta

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan belum menerima laporan rasmi berkenaan dakwaan PAS menerima RM90 juta daripada Umno.

Perkara itu dimaklumkan seorang pegawai tinggi SPRM yang dipetik The Malaysian Insight, hari ini.

Beliau berkata sesiapa yang mempunyai maklumat perlu tampil ke depan, bukannya hanya melontarkan dakwaan.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat sah atau rasmi diminta tampil untuk membuat aduan kepada kami. Jangan hanya membuat dakwaan semata-mata," kata pegawai yang tidak dinamakan itu seperti dipetik, sambil menambah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 membolehkan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.

Semalam, wartawan veteran A Kadir Jasin berkata kini satu-satunya cara untuk mengetahui kebenaran dakwaan itu adalah melalui siasatan polis dan SPRM.

Ia susulan keputusan Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk menyelesaikan kes samannya terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown yang membuat dakwaan itu di luar mahkamah, 2 Februari lalu.

Dalam penyelesaian itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menarik balik tuntutan terhadap Sarawak Report manakala editor laman itu Clare Rewcastle Brown menarik balik tuntutan balasnya.

Selain itu, tiada perintah berkenaan kos dan kedua-dua pihak tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma-terma berkaitan penyelesaian itu.

Tindakan itu dikritik beberapa pihak, dengan ada yang menyifatkan ia menandakan dakwaan PAS menerima wang itu memang benar.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata Sarawak Report tetap tiada bukti perkara itu memang berlaku.

Beliau juga berkata sama ada artikel portal tersebut yang menyebut dakwaan itu diturunkan atau kekal tidak timbul, memandangkan ia diterbitkan kira-kira dua tahun lalu dan sudah ramai yang membacanya.