Bekas ahli DAP Hew Kuan Yau mempersoalkan alasan bekas perdana menteri Najib Razak terus mempertikaikan pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan China-Malaysia (MCBC).

Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Hew yang digelar sebagai 'Superman' kerana gemar memakai baju watak adiwira berkenaan berkata, dia sudah memohon maaf dengan kenyataan "tidak wajar" yang dibuatnya sebelum ini.

"Itu Superman 1.0, kini sudah tiba masa untuk Superman 2.0 untuk ke hadapan berdepan tugas mengukuhkan kerjasama perniagaan antara Malaysia dan China bagi memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi kepada kedua-dua negara.

"Tolong berikan saya peluang untuk berubah. Tapi bagaimana dengan Najib? Adakah beliau bersedia memohon maaf secara terbuka kepada negara atas kerosakan yang disebabkannya terhadap ekonomi, reputasi dan maruah negara? Adakah dia subah insaf?" katanya.

Hew berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Najib di Facebook 3 Feb lalu yang mempersoalkan pelantikannya dalam MCBC.

Dalam kenyataan itu, Najib menyifatkan Hew sebagai seorang yang sering mencetuskan kontroversi termasuklah berhubung kenyataan yang mendakwa Laut China Selatan milik China yang dibuatnya pada Julai 2016.

"Masa itu, Hew tegas dengan pendirian beliau dan sanggup meninggalkan DAP demi mempertahankan pendiriannya.

"Tetapi ramai yang berpendapat tindakan Hew untuk keluar dari DAP ini hanya satu lagi wayang DAP untuk menyelematkan partinya dari dikaitkan dengan pendirian Hew.

"Ramai nampak bahawa tindakan Hew ini tidak membawa apa-apa makna kerana beliau terus menjadi penceramah DAP utama di dalam mana-mana kempen dan acara DAP," kata Najib yang menyifatkan pelantikan Hew "yang banyak berjasa dengan DAP" dalam MCBC sebagai pelantikan politik.

Pada 31 Jan lalu, Hew membuat permohonan maaf terbuka kepada rakyat Malaysia dan menarik balik kenyataannya tiga tahun lalu berhubung Laut China Selatan.

Hew berkata isu berkenaan perlu dilihat dalam rangka Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea oleh ASEAN untuk menyelesaikan segala konflik secara aman.

Selain Najib, pelantikan Hew dalam MCBC sebelum ini turut mendapat kritikan MCA yang menyifatkan Hew sebagai individu yang tidak sesuai ketika hubungan Malaysia dengan China "kian merosot sejak Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan".

Pengerusi MCBC Tan Kok Wai bagaimanapun mempertahankan pelantikan Hew dan menyifatkan bekas ahli DAP itu sebagai seorang yang berpengetahuan dalam ekonomi dan perdagangan China.