Barisan Nasional (BN) Kelantan hari ini mengemukakan usul di Mahkamah Tinggi Kota Bharu untuk membatalkan petisyen PAS berhubung keputusan pilihanraya kecil kawasan Pengkalan Pasir Disember lalu.

Usul itu didaftarkan di mahkamah itu pada jam 11.45 pagi oleh Penasihat Undang-undang BN Kelantan, Mohd Adhan Kechik.

Mohd Adhan ketika ditemui pemberita selepas itu berkata petisyen PAS pada 4 Januari lalu terlalu banyak kelemahannya dan barisan peguam yang dilantik BN berpendapat petisyen itu boleh dibatalkan tanpa perlu perbicaraan.

Usul BN itu meminta agar petisyen PAS itu dibatalkan mengikut Aturan 18 Kaedah 19(1)(b), (c) dan (d) Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 kerana ianya mengaibkan, remeh atau menyusahkan, selain ianya akan memprejudiskan dan/atau melengahkan perbicaraan adil petisyen tersebut dan ianya adalah suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Mohd Adhan berkata, BN mengemukakan notis bagi menambah tiga lagi peguam bagi mewakili Hanafi Mamat, calon parti itu yang menang dalam pilihanraya berkenaan, yang dinamakan sebagai responden pertama dalam petisyen PAS bagi membantah keputusan pilihan raya kecil itu 6 Disember lalu.

"Sekarang kita ada 11 peguam bagi mewakili Hanafi dan tiga yang terbaru ini ialah Datuk Muhammad Shafie Abdullah, Badrul Munir Mohd Bukhari dan Sarah Maalini Abishegam," katanya.

Menurut laporan Bernama, sebelum ini, antara yang peguam yang dilantik BN ialah Tan Sri Zaki Azmi, Datuk Ahmad Redza Abdullah, Mohd Hafarizam Harun dan Khairunadiah Hasni dari Tetuan Shahrizat, Rashid & Lee.

Hanafi menewaskan calon PAS Hanifa Ahmad dan calon bebas Datuk Ibrahim Ali dengan majoriti 134 undi dalam pilihanraya itu. Kerusi itu sebelum itu milik PAS.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ridza Zain melalui Tetuan C. Jegathesan telah mengemukakan petisyen setebal 22 muka surat pada 4 Januari lalu.

Selain Hanafi, dua responden lain ialah Pegawai Pengurus Pilihanraya, Abdul Halim Ahmad dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Tarikh prosiding petisyen itu akan ditetapkan pada 9 Februari ini.

-