Equanimity: Kerajaan tanggung 'biawak hidup' kata Puad
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng umpama menanggung biawak hidup apabila kerajaan gagal menjual kapal mewah Equanimity yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.
Bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang telah dibubarkan kerajaan, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kegagalan menjual kapal berkenaan mengakibatkan RM14 juta wang rakyat dibelanjakan bagi menjaga kapal itu sehingga kini.
"Hari ini terbukti Mahathir dan Lim gagal melelong kapal tersebut. Tidak ada siapa yang mahu membelinya. Ia sudah menjadi biawak hidup kepada kerajaan PH (Pakatan Harapan).
"Apa tidaknya, kerajaan terpaksa berbelanja RM2 Juta sebulan untuk menyelenggara kapal tersebut.
"Sekarang sudah 7 bulan tersadai. Itu bermakna kerajaan sudah membazir wang rakyat sebanyak RM14 Juta. Bukankah itu pembaziran namanya?" Soalnya.
Gagal lelong Equanimity
Mohd Puad juga mendakwa peguam Sitpah Selvaratnam yang mewakili syarikat 1MDB gagal melelong kapal persiaran mewah itu.
"(Peguam Negara) Tommy Thomas juga tumpang malu kerana peguam Ms Sitpah Selvaratnam kroni beliau yang menjadi penasihat transaksi dan peguam 1MDB untuk melelong kapal tersebut telah gagal," tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Selvaratnam (gambar, dua dari kiri) merupakan peguam kanan maritim dan perkapalan yang pernah bertugas di firma guaman bekas milik Thomas.
Selvaratnam yang juga merupakan pengasas presiden International Malaysian Society of Maritime Law dilantik mewakili 1MDB untuk menuntut kapal Equanimity.
Menurut laporan The Edge Financial Daily pada 10 Ogos 2018, Selvaratnam memberikan khidmatnya secara percuma kepada kerajaan.
Kerajaan Indonesia merampas kapal persiaran itu pada Februari tahun lalu sebagai sebahagian tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) menyita aset yang didakwa dibeli menggunakan dana yang dilesapkan daripada 1MDB.
Kapal mewah Equanimity berharga AS$250 juta (RM1.02 bilion) dikatakan milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Low dikehendaki pihak berkuasa di beberapa buah negara berhubung skandal 1MDB dan pihak polis telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.
Bekas perdana menteri Najib Razak juga turut dituduh bersubahat dengan konspirator utama, termasuk Low, untuk menyelewengkan berbilion dolar daripada 1MDB. Bagaimanapun, kedua-duanya telah menafikan sebarang salah laku.
Selepas diserahkan pihak berkuasa Indonesia, Malaysia membawa kapal mewah itu pulang ke negara dan tiba di Pelabuhan Klang Ogos tahun lalu.
Dalam pada itu, Mohd Puad secara sinis menyindir Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang "cukup gembira" dengan kepulangan Equanimity untuk dijadikan modal politik.
"Tujuan mereka sebenarnya hanya satu iaitu untuk "spin" isu 1MDB. Mahathir dan Guan Eng mahu membuktikan kapal itu dibeli menggunakan duit curi daripada 1MDB.
"Lim berbangga dapat merampas Equanimity dan terus umum untuk melelongnya. Namun amat menyedihkan apabila pembida yang berminat untuk membelinya di bawah harga AS$100 Juta sedangkan harga asal lebih RM1 Bilion," katanya.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma Burgess, broker penjualan kapal mewah itu, Jonathan Beckett menjelaskan harga panduan bagi Equanimity sekarang adalah AS$ 130 juta (RM532 juta) itu "sangat berpatutan," dengan mengambil kira "kualiti" kapal layar berkenaan.
Kapal mewah ini sedang dilabuhkan di Pulau Langkawi.

